Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantu SME dengan perkasa dewan perniagaan
Persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC) seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) boleh dimanfaatkan untuk membolehkan syarikat kecil dan sederhana (SME) berkembang maju di peringkat tempatan dan global.
Demikian dinyatakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman, semasa perbahasan mengenai usul yang dikemukakan oleh Parti Pekerja (WP) di Parlimen pada 5 Ogos.
Berkongsi pandangannya sebagai Timbalan Presiden DPPMS, Encik Azhar berkata TAC perlu diperkasakan untuk memperjuangkan kebimbangan dan keperluan SME di peringkat penggubalan dasar, selain mendidik anggotanya mengenai perubahan peraturan serta peluang baharu yang muncul.
Selain itu, TAC juga boleh menganjurkan acara rangkaian perniagaan, forum, serta melaksanakan program bimbingan yang menggandingkan usahawan berpengalaman dengan syarikat pemula.
“SME membentuk 99 peratus daripada jumlah perusahaan kita dan menggaji kira-kira dua pertiga daripada tenaga kerja negara...
“Namun, mereka kini berdepan dengan peningkatan kos, pasaran tenaga kerja yang ketat serta persaingan sengit.
“Kita perlu melakukan lebih untuk membantu mereka bukan sekadar bertahan, tetapi berkembang maju,” ujar Encik Azhar.
Beliau menambah, pihak pemerintah dan TAC boleh membantu SME menyesuaikan diri dengan perkembangan permintaan dengan maklumat pasaran dan analisis trend masa nyata.
Dalam pada itu, Encik Azhar menggalakkan agar rakyat Singapura memupuk budaya yang menyokong syarikat tempatan.
Beliau menjelaskan ini bukan bermakna mengamalkan sikap perlindungan pasaran, malah mengiktiraf bahawa setiap dolar yang dibelanjakan secara tempatan akan dikitar dalam ekonomi dan mewujudkan pekerjaan di samping membina daya tahan.
Pemerintah boleh menjadi contoh dengan mengutamakan SME tempatan dalam proses perolehannya apabila mutu serta nilai yang ditawarkan SME itu adalah setanding.
