Penubuhan Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER) bukan bertujuan mewujudkan strategi berasingan bagi masyarakat Melayu/Islam, sebaliknya ia memastikan masyarakat bersedia menghadapi perubahan dan berada pada kedudukan baik untuk merebut serta mencipta peluang.

Demikian ditegaskan pengerusi bersama jawatankuasa itu, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).

Semasa perbahasan mengenai usul yang dikemukakan Parti Pekerja (WP) di Parlimen pada 5 Ogos, Encik Saktiandi menegaskan bahawa tumpuan jawatankuasa itu adalah selaras dengan laporan Semakan Strategi Ekonomi (ESR).

Usul WP bertajuk ‘Ekonomi Masa Depan Yang Memanfaatkan Semua’ menetapkan visi parti tersebut untuk ekonomi Singapura dan bertindak balas terhadap rancangan ekonomi pemerintah.

Antara lain, Encik Saktiandi menjelaskan M Kuasa Tiga+ (M³+) dan rangkaian Melayu/Islam boleh membantu merapatkan jurang antara program nasional dengan keperluan di peringkat akar umbi, ujarnya.

“Bagaimana kita membantu lebih ramai peniaga Melayu/Islam menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing dan mengembangkan perniagaan?

“Di sinilah M³+, pemimpin perniagaan dan rangkaian masyarakat boleh menjadi jambatan antara program nasional dengan keperluan di lapangan...

“Kita mahu membantu lebih banyak perusahaan membina keupayaan, menjadi pembekal dan rakan niaga kepada syarikat global, serta akhirnya meneroka Asean dan pasaran yang lebih luas,” kata Encik Saktiandi.

Selain itu, beliau berkata adalah penting bagi membantu pekerja memahami perubahan lebih awal, di samping meningkatkan kemahiran dan merebut peluang dalam sektor pertumbuhan.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga seseorang kehilangan pekerjaan sebelum bertindak,” katanya, sambil menegaskan keperluan membuat persediaan sebelum perubahan berlaku.

Pengerusi bersama yang juga anggota parlimen (AP) pergerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) turut menyuarakan pandangan serupa.

Menurut Dr Wan Rizal, di bawah Bidang Tumpuan Empat (FA4) M³+, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), NTUC LearningHub, agensi SkillsFuture Singapura (SSG), dan Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat telah bekerjasama dengan Yayasan Mendaki.

Melalui kerjasama ini, lebih 6,000 pekerja Melayu/Islam telah menerima bantuan menerusi pesta kerjaya dan karnival kemahiran, kongsi Dr Wan Rizal.

Memberi jaminan tambahan, beliau berkata:

“NTUC dan e2i sedia maju bersama pekerja Melayu/Islam kita, terutama anak muda kita.

“Kita akan bantu mereka meningkatkan kemahiran, menyesuaikan diri, dan mendapat peluang pekerjaan bermakna, sama ada dalam syarikat global mahupun syarikat tempatan kita yang sedang berkembang.”

Secara berasingan, Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) turut menunjukkan sokongannya terhadap usul yang dipinda oleh Encik Edward Chia (GRC Holland–Bukit Timah).

Encik Chia mengemukakan empat pindaan bagi menyelaraskan aspirasi yang terkandung dalam usul itu, khususnya berkaitan keterangkuman dan inovasi, dengan ESR, dan bukan bercanggah dengan ESR.

Cik Mariam berkata syarikat tempatan yang dinamik dan perusahaan global adalah penting buat masa depan Singapura.

“Kekuatan kita tidak pernah datang daripada satu sumber sahaja.

“Ia berpunca daripada pengukuhan hubungan antara satu sama lain – syarikat tempatan yang dinamik, perusahaan global, permintaan domestik dan luar, serta rakyat Singapura dan modal Singapura yang melangkah berani ke persada dunia,” ujar Cik Mariam.