Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kerap menyemak bantuan dan jumlah pembayaran skim ComCare untuk memastikan keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup asas mereka.
Kali terakhir kuantum bantuan bagi Bantuan Jangka Pendek Hingga Sederhana dan Bantuan Jangka Panjang ComCare dinaikkan ialah pada Ogos 2022, menurut Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast) tentang sama ada MSF akan menimbangkan untuk menyelaraskan bantuan kewangan yang diberi kepada keluarga berpendapatan rendah berikutan Laporan Piawaian Pendapatan Minimum (MIS) 2023 yang diterbitkan pada September lalu.
Laporan tersebut berkata sebuah keluarga empat beranak, dengan ibu bapa, anak praremaja dan remaja, memerlukan sekurang-kurangnya $6,693 sebulan, atau sekitar $1,600 per kapita, untuk memampui taraf hidup asas.
Encik Chua berkata laporan MIS itu menyentuh bukan setakat keperluan asas, tetapi juga “apa yang diperlukan untuk membolehkan rasa kekitaan, rasa hormat, keselamatan dan kemerdekaan”.
“Cukup jelas bahawa laporan MIS itu sendiri telah mentakrifkan hasil dapatan mereka itu melebihi keperluan asas – apa yang mereka ketengahkan ialah perkara yang diingini, mungkin sesuatu yang keluarga ingin miliki,” jelas Encik Chua.
Beliau menambah bahawa adalah penting untuk melihat sokongan yang diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah secara keseluruhan, dan bukan hanya dari segi bantuan kewangan yang diterima.
“Apa yang kami sediakan dalam ComCare dari segi subsidi dan dalam skim bantuan kewangan adalah bagi keperluan asas.
“Kita juga mesti lihat secara keseluruhan apa yang telah diberikan kepada keluarga-keluarga ini, bukan sahaja dari segi apa yang diberikan pemerintah dari segi bantuan kewangan, tetapi juga (apa yang diberikan) masyarakat dan korporat,” ujarnya.
Dalam soalan susulan, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) berkata terdapat perkara yang mungkin dianggap “keinginan” tetapi sebenarnya penting dalam konteks Singapura.
Misalnya, beliau berkata laporan MIS tersebut menyatakan bahawa minyak wangi – yang mungkin dianggap barang yang diingini – adalah penting di Singapura, yang cuacanya panas, kerana ia membantu individu tampil lebih rapi.
Encik Chua berkata MSF menilai produk dan khidmat yang diberikan kepada keluarga dalam pakej asas ComCare dari masa ke masa.
Encik Chua menambah bahawa beliau telah bertanya dua penduduk flat sewa tentang pandangan mereka terhadap benda seperti minyak wangi, barang kemas dan cuti ke luar negara.
“Kedua-dua mereka memberitahu saya bahawa perkara-perkara ini merupakan perkara yang jika ada, bagus,” katanya, sambil menambah bahawa mereka berasa cara mendapatkan barang-barang sedemikian ialah dengan “bekerja, dapat gaji dan kerja keras untuk mendapatkannya”.
“Jangan kita memandang rendah kuasa, kekuatan dan maruah keluarga berpendapatan rendah ini dan keupayaan mereka untuk mengubah keadaan sendiri dan memecahkan kitaran kemiskinan,” kata Encik Chua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg