Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan kemanusiaan dari S’pura bagi penduduk Gaza selamat disampaikan

 Dr Maliki saksi penyerahan sumbangan warga S’pura menerusi RLAF, Palang Merah di Kahirah
Nov 11, 2023 | 6:30 PM
SUMBANGAN RLAF: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah) menyaksikan penyerahan cek bernilai $2 juta daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Kahirah, Mesir pada Jumaat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Faizal Othman (dua dari kanan); dan anggota Lembaga Pemegang Amanah RLAF, Encik Mohamad Zulfadhli Gazali (paling kanan); menyerahkan cek tersebut kepada Penyelaras Kanan Prinsip Kemanusiaan UNRWA, Encik Andrew Hyslop (dua dari kiri) dan Pegawai Kesetiaan Dermawan Swasta UNRWA, Cik Nicole Hashem (paling kiri).
SUMBANGAN RLAF: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah) menyaksikan penyerahan cek bernilai $2 juta daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Kahirah, Mesir pada Jumaat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Faizal Othman (dua dari kanan); dan anggota Lembaga Pemegang Amanah RLAF, Encik Mohamad Zulfadhli Gazali (paling kanan); menyerahkan cek tersebut kepada Penyelaras Kanan Prinsip Kemanusiaan UNRWA, Encik Andrew Hyslop (dua dari kiri) dan Pegawai Kesetiaan Dermawan Swasta UNRWA, Cik Nicole Hashem (paling kiri). - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah menyerahkan cek berjumlah $2 juta berkat sumbangan warga Singapura kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Kahirah, Mesir pada Jumaat bagi menyokong usaha kemanusiaan yang sedang berlangsung di Gaza.

Di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) di Kahirah pada Sabtu pula, Palang Merah Singapura (SRC) turut mengumumkan akan menyerahkan bantuan tambahan AS$100,000 ($136,090) kepada ERC bagi membantu pembelian barangan kemanusiaan yang amat diperlukan di Gaza.

Sebelum ini, SRC telah menghantar bekalan bantuan kemanusiaan bernilai AS$200,000 kepada ERC bagi membantu mangsa konflik di Gaza.

Penyerahan bantuan oleh RLAF dan SRC kepada UNRWA dan ERC di Kahirah itu turut disaksikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang dalam lawatan kerjanya di Mesir.

“Saya berbesar hati dapat menyaksikan penyerahan bantuan kemanusiaan daripada RLAF dan SRC kepada UNRWA dan ERC.

“Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza adalah satu tragedi, dan terdapat keperluan mendesak untuk bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada orang awam di Gaza.

“Saya bangga rakyat Singapura telah tampil dengan murah hati untuk menyokong keperluan ini,” kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Dr Maliki turut menerima taklimat berasingan oleh ERC di ibu pejabatnya dan UNRWA di Hotel Four Seasons mengenai situasi terkini di sempadan Rafah dan situasi kemanusiaan di Gaza.

HULUR BANTUAN: Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman menyampaikan sumbangan daripada Palang Merah Singapura (SRC) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) di ibu pejabat ERC.
HULUR BANTUAN: Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman menyampaikan sumbangan daripada Palang Merah Singapura (SRC) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) di ibu pejabat ERC. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Dr Maliki juga berkesempatan ke gedung ERC dan bertemu dengan relawan dan kakitangan ERC yang sedang menyediakan bekalan bantuan kemanusiaan yang akan dibawa pula ke gedung ERC berdekatan dengan sempadan Rafah.

Beliau turut menyingsing lengan untuk membantu mereka mengisikan kotak-kotak dengan barang makanan dan ubat-ubatan yang akan dibawa masuk ke Gaza.

SUMBER BANTUAN: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, menyingsing lengan untuk membantu para relawan dan kakitangan di ibu pejabat ERC mengisikan kotak-kotak dengan barang makanan dan ubat-ubatan yang akan dibawa masuk ke Gaza.
SUMBER BANTUAN: Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, menyingsing lengan untuk membantu para relawan dan kakitangan di ibu pejabat ERC mengisikan kotak-kotak dengan barang makanan dan ubat-ubatan yang akan dibawa masuk ke Gaza. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Dalam pertemuannya dengan pemimpin Mesir dari 9 hingga 11 November, Dr Maliki mengesahkan sokongan Singapura terhadap usaha bantuan kemanusiaan oleh pemerintah Mesir, PBB dan rakan kongsi lain untuk memberi kelegaan bagi menangani situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

Semasa majlis penyerahan cek oleh RLAF kepada UNRWA pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Faizal Othman berkata beliau terharu melihat sokongan padu semua lapisan masyarakat di Singapura yang menyokong kempen itu.

Beliau turut mengumumkan setakat ini, RLAF telah berjaya mengumpul lebih $5.7 juta daripada warga Singapura, dan akan berusaha menyerahkan dana itu secara bertahap kepada UNRWA.

Jumlah itu merupakan rekod tertinggi dalam sejarah RLAF.

“Hari ini, kami menyerahkan sebahagian daripada kutipan RLAF sebanyak $2 juta kepada UNRWA, supaya mereka boleh mempercepatkan kerja-kerja bantuan yang diperlukan di Gaza.

“Kami memanjatkan doa dan harapan kami kepada mangsa yang tidak bersalah dalam konflik ini, dan saya berharap sumbangan kami akan memperbaiki keadaan mangsa yang terselamat. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menderma dengan ikhlas hati,” kata Encik Faizal.

Penyelaras Kanan Prinsip Kemanusiaan UNRWA, Encik Andrew Hyslop menyambut baik sokongan pemerintah dan rakyat Singapura untuk membantu menyegerakan bantuan kemanusiaan bagi penduduk Palestin.

“Bagi pihak UNRWA dan pelarian Palestin yang kami bantu, saya mengucapkan terima kasih atas sokongan para penderma yang murah hati.

“Kami berbesar hati dan kami berterima kasih atas kerjasama pemerintah Singapura dan rakyat Singapura, khususnya RLAF, dalam menyokong usaha kita untuk menyediakan bekalan kemanusiaan yang genting untuk penduduk di Gaza,” kata Encik Hyslop.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg