Lebih banyak peluang kerja fleksibel akan disediakan bagi pekerja warga emas, sekali gus membantu mereka mengimbangi kerjaya dengan komitmen peribadi seperti menjaga ahli keluarga.

Dikenali sebagai Program Beban Kerja Fleksibel (FLP) atau Flexi-Load Programme, daya usaha itu merupakan antara enam saranan utama Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas (TWG-SE) dalam laporannya yang dikeluarkan pada 26 Oktober.

Saranan untuk mewujudkan FLP bertujuan menyokong majikan mencipta serta memperluas peluang kerja dengan beban fleksibel, seperti pekerjaan sambilan atau kerja berasaskan pecahan masa atau fractional work.

Melalui skim tersebut, majikan akan menerima bantuan kewangan bagi menampung kos peralihan dalam merangka aturan kerja berkenaan.

Ini termasuk kos mereka semula sistem kerja dan dasar organisasi yang sebelum ini distrukturkan khusus bagi pekerja sepenuh masa.

FLP akan menggantikan Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan (PTRG) sedia ada apabila skim berkenaan tamat tempoh pada akhir 2027.

Skim itu sebelum ini telah menyokong sekitar 68,500 warga emas dan 7,800 majikan.

Bercakap kepada wartawan selepas persidangan pelancaran enam saranan itu di Hotel Orchard pada 26 Oktober, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkata enam saranan tersebut bertumpu kepada usaha menyediakan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dalam pekerjaan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan pekerjaan yang mesra warga emas dan tempat kerja berbilang generasi, di mana pengalaman dihargai dan pekerja boleh terus menyumbang mengikut cara yang bersesuaian dengan mereka, yang seterusnya memberi manfaat kepada perniagaan,” kata beliau.

Berbanding PTRG yang terhad kepada pekerja berumur 60 tahun dan ke atas serta memberi sokongan untuk penyesuaian dasar HR, FLP meluaskan kelayakan kepada pekerja seawal usia 50 tahun, menurut laporan kumpulan kerja tiga pihak itu.

Kumpulan kerja tersebut terdiri daripada wakil Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).

Ia menambah, skim baharu itu akan menyediakan dana bagi majikan yang benar-benar mewujudkan jawatan beban kerja fleksibel tambahan.

Selain itu, menurut dapatan tinjauan MOM, kadar penyertaan tenaga kerja mencatat penurunan lebih ketara seawal lewat usia 50-an – menunjukkan ramai pekerja meninggalkan kerjaya lebih awal daripada yang mereka inginkan, kata laporan itu.

Menurut tinjauan tenaga kerja MOM pada 2025, lebih separuh – 52.6 peratus – daripada individu berumur 50 hingga 59 tahun yang berada di luar pasaran pekerjaan berkata tanggungjawab menjaga keluarga atau kerja rumah merupakan punca utama pengunduran mereka.

Ia disusuli masalah kesihatan (16 peratus).

Laporan TWG-SE turut mendapati bahawa walaupun aturan tempat kerja fleksibel (flexi-place) dan masa fleksibel (flexi-time) semakin banyak, terdapat “jurang yang ketara” bagi pilihan beban kerja fleksibel buat warga emas.

Di bawah Garis Panduan Kumpulan Kerja Tiga Pihak Mengenai Permintaan Aturan Kerja Fleksibel oleh MOM, aturan lokasi fleksibel membolehkan pekerja bekerja dari pelbagai lokasi berbeza, seperti dari rumah.

Sementara itu, aturan masa fleksibel memberikan kelonggaran dari segi waktu kerja mereka, seperti waktu mula dan tamat kerja yang berperingkat.

Aturan beban fleksibel pula membolehkan pekerja mengambil beban kerja berbeza, dengan pelarasan yang setimpal terhadap gaji mereka.

Dalam kalangan pekerja sepenuh masa di sini yang berusia antara 50 hingga 64 tahun, sebanyak 85.5 peratus ditawarkan aturan kerja masa fleksibel, sementara 78.7 peratus pula ditawarkan aturan lokasi fleksibel.

Menurut data MOM pada 2024, hanya 74.5 peratus yang disediakan aturan beban kerja fleksibel.

Bagi membantu warga emas yang telah meninggalkan alam pekerjaan kembali bekerja serta menggalakkan penggunaan aturan beban fleksibel secara lebih meluas, kumpulan kerja tersebut menyarankan untuk menubuhkan satu program beban kerja fleksibel yang baharu serta sebuah pejabat program khas.

Pejabat baharu tersebut, yang diterajui Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja (SWDA) dengan kerjasama NTUC dan Snef, akan menggerakkan lebih banyak pendekatan bagi membantu majikan menampung kos membangunkan dan melaksanakan aturan kerja beban fleksibel.

Butiran lanjut mengenai saranan skim kumpulan kerja itu akan diumumkan pada separuh pertama 2027 di Jawatankuasa Perbekalan (COS), di mana MOM akan membentangkan perancangan belanjawan mereka.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti