Pada 1999, AMP Singapura memperkenalkan Skim Keluarga Angkat dan Belia, atau ‘Adopt a Family and Youth Scheme’ (AFYS), untuk membantu keluarga yang kurang bernasib baik kembali berdikari.
Di bawah skim itu, keluarga tersebut akan menerima bantuan dan pengurusan kewangan, pemerkasaan ekonomi, program sosiopendidikan dan pendidikan ibu bapa serta bengkel kemahiran hidup keluarga.
Skim itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan memastikan, dalam jangka panjang, tahap kewangan menjadi lebih baik dan mantap.
Menangani kes-kes AFYS bagi para pekerja sosial amat mencabar.
Cik Nur Atikah Adnan, 30 tahun, yang telah bertugas sebagai pekerja sosial selama lima tahun, berkata:
“Kebanyakan keluarga memasuki program selepas menghadapi kemelut yang negatif kepada dinamik dan rutin keluarga. Banyak cabaran yang mereka hadapi semasa berada dalam keadaan yang genting. Contohnya seperti kemalangan, kemelut kesihatan, (dan) perceraian.
“Peristiwa begini selalunya membawa perubahan yang mendadak. Jadi, keluarga ini memerlukan penyesuaian diri. Di samping menangani perubahan, mereka juga menghadapi tekanan kewangan. Keluarga yang punya anak berkeperluan khas yang memerlukan perbelanjaan besar.”
Biarpun banyak rintangan yang dihadapi oleh keluarga sebegini, bantuan AFYS telah membawa kejayaan kepada keluarga dan belia yang mengikuti program tersebut.
Cik Nur Atikah memberi contoh, ‘Cik Zaimah’ (bukan nama sebenar), yang mempunyai sembilan anak dan berjualan di kantin sekolah.
Suaminya berpenyakit jantung dan tidak boleh bekerja. Cik Zaimah pencari nafkah tunggal dan penjaga utama suaminya. Pendapatannya tidak cukup menyara 11 anggota keluarga.
Di bawah AFYS, keluarga Cik Zaimah menerima baucar runcit dwibulanan.
Anak-anak Cik Zaimah ke kelas tuisyen dengan kos yang disokong oleh AFYS. Setelah mengikuti kelas tuisyen atas bantuan AFYS itu, Cik Zaimah turut melihat kenaikan prestasi pelajaran anak-anaknya dan beliau pula dapat berjualan di kantin dengan lebih tenang.
Cik Nur Atikah menambah: “Saya bekerjasama rapat membantu mereka mengatur belanjawan dan menguruskan kewangan mereka. Saya berkongsi strategi menangani dan menjaga diri agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Sokongan emosi dan kaunseling penting untuk meningkatkan kesihatan mental mereka dan meningkatkan kesejahteraan mereka. Saya juga berperanan sebagai broker untuk dapatkan mereka sokongan tambahan.”
Bagi Cik Nur Fariza Ahmad Razif, 38 tahun, beliau telah bertugas sebagai pekerja sosial selama 15 tahun.
Beliau kini Pengetua Pegawai Sosial dan menerajui jabatan khidmat keluarga. Apabila diajukan soalan tentang bagaimana beliau mengukur kejayaan AFYS, Cik Nur Fariza, berkata:
”Apabila kami lihat keluarga di bawah skim AFYS menjadi lebih berdikari dan menunjukkan peningkatan dalam pendapatan, ini antara cara kami menilai keberkesanan skim ini. Juga, apabila anak-anak bantuan AFYS pula berjaya melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.
“Sejak skim AFYS diperkenalkan, kami telah melihat ramai anak-anak di bawah skim ini menamatkan pengajian tinggi.
“Mereka bekerja dan menyumbang kepada keluarga langsung menjadikan kewangan keluarga menjadi lebih mantap. Ramai berjaya dalam kerjaya masing-masing.
“Ini mendorong adik-beradik mereka mahu berjaya, dan akhirnya menghentikan putaran kemunduran bagi keluarga mereka dan generasi akan datang,” jelas Cik Nur Fariza.
Menurut Cik Nur Fariza, program itu menyedarkan tentang wujudnya keluarga kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Memandangkan AFYS dibiayai sepenuhnya oleh penderma, sokongan penderma penting untuk memastikan program dapat diteruskan,” ujar beliau.
Sejauh ini, AMP telah membantu lebih 36,000 penerima bantuan sejak 1999 melalui AFYS dan program sokongan keluarga yang lain. Sokongan masyarakat dan para penderma untuk AFYS amat dialu-alukan.
SEKILAS:
Untuk menderma:
1. Bagi sumbangan melalui dalam talian, sila ke pautan, ampdonate.sg/afys-bh
2. Pemindahan wang melalui PayNow ke UEN 199105100D.
* Bagi maklumat lanjut, lungsuri laman web, https://amp.org.sg/


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg