Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa ‘jauh di mata, dekat di hati’

Jun 15, 2025 | 3:36 PM
Hari Bapa, pengorbanan, keluarga yang erat
Encik Rahim Md Idris (tiga dari kiri) bersama isterinya, Cik Yusnizan Mohd Taib (paling kiri), dan anak-anak mereka, Zaki Zulkifli dan Lina Farzana, merupakan keluarga yang erat walau kadangkala perlu berjauhan disebabkan tugas Encik Rahim sebagai jurutera. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi jurutera, Encik Rahim Md Idris, menjadi seorang bapa bermakna sentiasa ‘hadir’ dalam kehidupan anak-anak – walaupun kadangkala terpaksa berjauhan secara fizikal.

Disebabkan tuntutan kerjayanya, beliau kerap dihantar bertugas ke luar negara, ada masanya sehingga tiga hingga enam bulan.

Namun begitu, beliau tetap berusaha untuk kekal terlibat dalam kehidupan anak-anaknya tidak kira sejauh mana sekalipun.

“Ia agak sukar apabila berjauhan. Tetapi seorang bapa adalah pemberi kasih sayang, panduan, dan sokongan. Ia bukan sekadar memberi nafkah, tetapi menjadi teladan dan mentor kepada anak-anak,” kata beliau.

Encik Rahim, 51 tahun, juga merupakan anggota kumpulan muzik Dads The One yang membuat persembahan di acara Dad’s Day Out pada 15 Jun – sebuah acara bagi meraikan para bapa dan peranan penting mereka dalam membentuk keluarga yang kukuh sempena Hari Bapa.

Acara tersebut dianjurkan oleh Pusat Kebapaan, DADs for Life, MUMs for Life, Families for Life dan Mediacorp.

Hadir menyokong Encik Rahim di acara itu ialah isterinya, Cik Yusnizan Mohd Taib, 49 tahun, dan anak-anak mereka, Cik Lina Farzana Rahim, 21 tahun, dan Zaki Zulkifli Rahim, 13 tahun.

Sempena sambutan Hari Bapa, Cik Yusnizan menghargai pengorbanan suaminya dalam membesarkan anak-anak mereka.

“Kami sering berganding bahu untuk membesarkan anak-anak. Kami bantu satu sama lain dan saling menyokong agar anak-anak kami rasa disayangi,” kata Cik Yusnizan yang bekerja dalam bidang logistik.

Anak sulung mereka, Cik Lina, seorang lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), menyifatkan bapanya sebagai seorang yang pendiam tetapi penyayang.

Zaki pula memuji kesabaran bapanya yang membimbingnya dalam mata pelajaran matematik – sambil ketawa ketika mengenang detik-detik tersebut.

“Saya pernah hilang iPad saya, dan dapat rasakan beliau marah, tapi beliau kekal tenang,” kata pelajar Sekolah Menengah Bukit View itu.

Bagi Encik Rahim, peranan sebagai seorang bapa bukanlah tugas yang mudah, tetapi satu amanah yang membawa makna mendalam – ia satu perjalanan seumur hidup yang memerlukan kasih sayang, panduan dan pengorbanan.

Dianjurkan sempena sambutan Festival Keluarga Nasional, Acara Dad’s Day Out yang berlangsung di OCBC Square menarik lebih 7,000 pengunjung.

Majlis itu turut dihadiri tetamu terhormat, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Tetamu terhormat, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, menyampaikan ucapan di acara Dad’s Day Out di OCBC Square, yang meraikan peranan penting para bapa dalam membentuk keluarga.
Tetamu terhormat, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, menyampaikan ucapan di acara Dad’s Day Out di OCBC Square, yang meraikan peranan penting para bapa dalam membentuk keluarga. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Kita tidak perlu menjadi bapa yang sempurna untuk menjadi bapa yang terbaik. Anak-anak tidak mengharapkan jawapan kepada segala persoalan – cukup dengan kesediaan untuk mendengar, hadir bersama mereka, menunjukkan kepedulian yang ikhlas dan menyayangi secara konsisten,” ujar Encik Tong dalam ucapannya.

“Apa yang paling penting bagi anak anda bukanlah kesempurnaan, tetapi kehadiran anda. Jadi teruskan usaha. Teruskan mencuba. Teruskan menjadi tunjang kasih sayang dalam keluarga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg