Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, iaitu isteri penyanyi irama Nusantara popular pada era 1980-an, Sheqal, tidak mahu isu anak-anak tiri memberi kesan kepada dirinya, sebaliknya fokus kepada perkembangan kesihatan suami tersayang.
Sehubungan itu, Cik Normah enggan mengulas lagi isu anak-anak tiri yang dikatakan belum menziarah bapa yang sakit, agar tidak mengeruhkan lagi keadaan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Saya hanya mahu fokus kepada perkembangan Abang Sheqal. Saya tidak komen berkenaan perkara lain. Saya minta maaf sangat-sangat. Kalau setakat berkongsi perkembangan kesihatan Abang Sheqal, Insya-Allah saya boleh. Lebih daripada itu, saya minta maaf.
“Lebih baik kita fokus kepada Abang Sheqal dan keluarga sahajalah. Saya hendak cakap lebih pun tidak berani sekarang. Saya tak mahu keruhkan lagi keadaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Cik Normah dilaporkan mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama Raja Ema iaitu Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah, melawat ayah mereka semasa hayatnya masih ada.
Cik Normah amat berharap Sheqal bertemu anak-anak atas faktor keadaan kesihatan suaminya itu sekarang.
Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan terkini Sheqal, Cik Normah berkata penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Nusantara itu masih lagi belum sedar.
“Suami okay, setakat semalam, dia masih belum sedar. Tetapi doktor beritahu, kita kena beri dia masa sedikit.
“Sekarang doktor masih pantau dengan rapi.
“Alhamdulillah, keadaan Abang Sheqal bertambah baik. Dimaklumkan darah tinggi dan kencing manis pun semakin stabil. Paras oksigen pun sudah lebih 90 peratus. Jadi, kita cuma tunggu dia sedar. Bila, tidak pasti. Doktor kata beri dia masa,” katanya lagi.
Cikj Normah berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan suami agar segera pulih.
Sheqal atau nama sebenar, Shahrin Salehuddin, ditidurkan di HTJ, sejak 5 Jun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg