Apabila Encik Aminuddin Md Noor menerima tawaran untuk bersara awal daripada syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 2020, beliau mengambil alih peranan yang mungkin dianggap luar biasa bagi sesetengah kaum Adam.

Namun, bagi bekas pegawai kanan khidmat pelanggan itu, menjadi nara keluarga atau ‘house husband’, bukanlah sesuatu yang baru.

Mengikut Kamus Dewan, nara merujuk kepada lelaki atau perwira.

Pada usia 65 tahun, Encik Aminuddin sudah lebih tiga dekad menjadi tukang masak utama keluarga dengan tujuh orang.

Tatkala isterinya, Cik Siti Hawa Shaini, 64 tahun, terus mengajar di Sekolah Menengah Damai sebagai guru adjung fleksibel (FAJT) bagi subjek Pendidikan Makanan dan Pengguna serta mengurus kewangan keluarga, Encik Aminuddin pula bertanggungjawab menguruskan hal ehwal rumah tangga.

Ia termasuk menyediakan makanan, mencuci pakaian dan menggosok baju, hinggalah memastikan rumah sentiasa teratur selain membeli barangan dapur.

“Menguruskan kerja rumah bukan sesuatu yang asing bagi saya. Saya sudah biasa melakukannya sejak bujang lagi.

“Malah, selepas berkahwin, saya beritahu isteri agar tumpukan pelajaran dan kerjayanya supaya saya boleh uruskan hal rumah tangga,” kata bapa lima anak itu.

Keputusan menerima tawaran untuk bersara awal itu dibuat selepas beliau dan isterinya menimbangkan beberapa faktor, termasuk kestabilan kewangan keluarga.

Pada ketika itu, anak-anak mereka semakin dewasa dan keluarganya masih mempunyai sumber pendapatan.

TUGAS RUMAH BUKAN MUDAH

Menurut Encik Aminuddin, walaupun sudah menguruskan rumah tangga selama berdekad lamanya, beliau mengakui tugas seorang nara keluarga tidak semudah yang disangka ramai.

“Orang mungkin terkejut. Dari pagi sampai petang saya buat kerja rumah, tetapi bila keluarga pulang, kerja masih belum habis.

“Kadang-kadang saya terfikir, ‘Ya Allah, kerja rumah ini memang tidak pernah selesai’,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BM).

Minat mendalam terhadap masakan turut menjadikan tugas tersebut lebih menyeronokkan.

Dikenali dalam kalangan anggota keluarga sebagai cef keluarga, beliau mahir menyediakan pelbagai hidangan tradisional Melayu seperti lontong, ketupat, rendang, ayam masak merah dan sate goreng.

Dikenali sebagai pakar memasak, Encik Aminuddin Md Noor, sentiasa menyiapkan hidangan istimewa buat keluarga tercinta hampir setiap hari.
Dikenali sebagai pakar memasak, Encik Aminuddin Md Noor, sentiasa menyiapkan hidangan istimewa buat keluarga tercinta hampir setiap hari. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Cik Siti Hawa, pula mengakui suaminya memainkan peranan besar dalam mengendalikan urusan rumah tangga dan penyediaan makanan keluarga.

“Biasanya, tugas saya di rumah cuma merasa masakan sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 1993 itu dikurniakan tiga anak perempuan dan dua anak lelaki, yang berusia antara 22 tahun dengan 32 tahun.

Sejak bersara, Encik Aminuddin berkata beliau dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak, yang kini sering mendapatkan pandangan dan nasihat daripadanya.

Beliau juga gemar menyediakan hidangan istimewa apabila diminta memasak untuk sambutan hari lahir atau acara keluarga.

TIDAK MALU URUS RUMAH TANGGA

Mengenai tanggapan masyarakat terhadap peranannya sebagai suami yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa, Encik Aminuddin berkata keluarga dan rakan-rakan sudah lama memahami pembahagian tanggungjawab tersebut.

“Saya tidak pernah berasa malu menjadi orang yang memasak atau menguruskan rumah.

“Kami membahagikan tanggungjawab mengikut kekuatan masing-masing, bukan berdasarkan peranan tradisional lelaki dan wanita,” ujarnya.

Sementara itu, isterinya menyifatkan dirinya bertuah mempunyai suami yang bukan sahaja pandai memasak, malah cekap menguruskan rumah tangga.

Malah, bagi sesetengah bapa juga, pengorbanan bukan sahaja diukur melalui usaha mencari rezeki, bahkan juga kesanggupan meletakkan kerjaya di belakang demi memberi tumpuan kepada keluarga.

PIKUL AMANAH BESAR JAGA KEMBAR

Sementara itu, bagi Encik Abdul Hafiz Bahrawi, 35 tahun, pula mengambil keputusan untuk menjadi nara keluarga dan penjaga utama kepada anak kembarnya, Muhammad Fursan Hayyan Abdul Hafiz dan Muhammad Furqan Hayyan Abdul Hafiz, yang berusia 18 bulan.

Keputusan tersebut dibuat bersama isterinya, Cik Nurulain Ishak, 37 tahun, selepas mereka dikurniakan anak kembar menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF), selepas tujuh tahun berusaha mendapatkan cahaya mata.

Encik Abdul Hafiz telah mengambil keputusan untuk menjadi penjaga utama dan nara keluarga kepada Muhammad Furqan Hayyan (kiri) dan Muhammad Fursan Hayyan (kanan), sambil bekerja secara sambilan sebagai pembantu runcit bagi menampung keperluan keluarga.
Encik Abdul Hafiz telah mengambil keputusan untuk menjadi penjaga utama dan nara keluarga kepada Muhammad Furqan Hayyan (kiri) dan Muhammad Fursan Hayyan (kanan), sambil bekerja secara sambilan sebagai pembantu runcit bagi menampung keperluan keluarga. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Peluang bergelar ibu bapa ini amat berharga bagi saya. Jadi, saya mahu terlibat secara langsung dalam membesarkan anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka,” katanya, yang turut mengakui antara faktor yang dipertimbangkan dalam membuat keputusan tersebut termasuk pendapatan Cik Nurulain yang lebih tinggi.

Dengan pendapatan isterinya yang lebih tinggi dan ketiadaan ahli keluarga yang dapat membantu menjaga anak-anak secara tetap, mereka bersepakat bapa berusia 35 tahun itu akan mengambil peranan sebagai penjaga utama di rumah.

Cik Nurulain, yang bertugas sebagai eksekutif kanan perhubungan awam, kini turut mengikuti pengajian bagi memburu ijazah sarjana muda.

Beliau kini berada dalam tahun keempat bagi pengajian dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Melayu secara sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Selama hampir tujuh tahun menanti, Encik Abdul Hafiz Bahrawi (kiri) dan Cik Nurulain Ishak (kanan) dikurniakan anak kembar mereka, Muhammad Fursan Hayyan Abdul Hafiz (kiri) dan Muhammad Furqan Hayyan Abdul Hafiz.
Selama hampir tujuh tahun menanti, Encik Abdul Hafiz Bahrawi (kiri) dan Cik Nurulain Ishak (kanan) dikurniakan anak kembar mereka, Muhammad Fursan Hayyan Abdul Hafiz (kiri) dan Muhammad Furqan Hayyan Abdul Hafiz. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Sokongan suaminya membolehkan beliau meneruskan kerjaya dan pengajian serentak, sementara Encik Hafiz bekerja sambilan sebagai pembantu runcit pada hujung minggu dan cuti umum bagi menambah pendapatan keluarga.

Selama hampir setahun sebelum anak kembarnya memasuki prasekolah, rutin harian Encik Hafiz, yang sebelumnya bertugas sebagai ketua pasukan penyelenggaraan kabin pencegahan, banyak tertumpu kepada menjaga anak kembar mereka secara sepenuh masa.

Ia termasuk daripada menyediakan makanan, menukar lampin, membawa mereka bersiar-siar sehinggalah menguruskan kerja rumah.

“Dia sangat serasi dan mudah menyesuaikan diri dalam menjaga anak-anak,” kata Cik Nurulain, yang turut kagum melihat tanggungjawab yang digalas suaminya.

Walaupun mengakui tugas itu mencabar, terutama ketika terpaksa menguruskan dua anak kecil serentak tanpa pengalaman terdahulu, beliau tidak pernah menyesali keputusannya.

Malah, beliau turut rajin mendapatkan nasihat isteri dan belajar cara menguruskan rumah dan anak melalui YouTube atau Google.

Bagi pasangan itu, pengorbanan dari segi pendapatan dan perkembangan kerjaya berbaloi jika dibandingkan dengan peluang menyaksikan sendiri setiap detik tumbesaran anak-anak mereka.

Buat masa ini, mereka telah menyesuaikan diri dengan rutin tersebut dan tidak bercadang mengubahnya dalam masa terdekat.

KIAN RAMAI PILIH JADI NARA KELUARGA

Berdasarkan tinjauan akhbar The Straits Times (ST) pada 2026, terdapat lonjakan dalam jumlah kaum lelaki yang memilih untuk menjadi nara keluarga dan bapa di rumah secara sepenuh masa.

Berdasarkan data laporan tahunan Tenaga Kerja di Singapura oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), bilangan bapa yang menjadi nara keluarga dan berada di luar tenaga kerja telah meningkat daripada kira-kira 1,900 orang pada 2022, kepada 3,000 orang pada 2025.

Golongan itu kini merangkumi 7.4 peratus penduduk di luar tenaga kerja kerana peratusan mereka yang menjaga anak pada 2025 meningkat daripada 3.5 peratus pada 2022.

Dalam tempoh yang sama, bilangan ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa merosot daripada sekitar 51,600 orang kepada 37,300 orang.

Menurut Zamil Penyelidik Kanan di Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Tan Poh Lin, pandemik Covid-19 telah menjadikan peranan penjagaan anak oleh ibu bapa lebih ketara buat sementara waktu.

Ia sekali gus membantu meningkatkan penerimaan sosial terhadap peranan bapa sebagai penjaga anak, baik dalam masyarakat mahupun di tempat kerja.

Orang mungkin terkejut. Dari pagi sampai petang saya buat kerja rumah, tetapi bila keluarga pulang, kerja masih belum habis. Kadang-kadang saya terfikir, ‘Ya Allah, kerja rumah ini memang tidak pernah selesai’... Saya tidak pernah berasa malu menjadi orang yang memasak atau menguruskan rumah. Kami membahagikan tanggungjawab mengikut kekuatan masing-masing, bukan berdasarkan peranan tradisional lelaki dan wanita.
Encik Aminuddin Md Noor, bapa kepada lima anak berusia antara 22 tahun dengan 32 tahun.

Peluang bergelar ibu bapa ini amat berharga bagi saya. Jadi, saya mahu terlibat secara langsung dalam membesarkan anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka. 
Encik Abdul Hafiz Bahrawi, bapa kepada sepasang kembar berusia 18 bulan.