Impian Encik Muhammad Jabbar Jaafar untuk menjadi seorang ayah hampir terkubur apabila beliau dan isterinya, Cik Nurmin Ahmad, berdepan kesukaran menimang cahaya mata sendiri.

Pasangan itu, yang kededuanya kakitangan awam yang kini berusia 44 tahun, sedar usia mungkin menjadi antara faktor yang menjejas peluang mereka memperoleh zuriat.

Malah, persoalan mengenai kesuburan sudah dibincangkan sebelum mereka bernikah pada usia 39 tahun sekitar Ogos 2021.

“Sebelum kami berkahwin, saya bertanya kepadanya (Encik Jabbar), bagaimana jika kita tidak dapat mempunyai anak?”

“Saya mahu tahu pendiriannya sebelum kami melangkah ke alam perkahwinan,” kata Cik Nurmin.

Namun, Encik Jabbar memberikan jaminannya, malah berkata:

“Pada saya, ada pelbagai cara menjadi ibu bapa.

“Sama ada melalui anak kandung, anak angkat mahupun anak titipan.

“Yang penting, kami dapat membina sebuah keluarga bersama.”

Kata-kata itu menjadi satu perjanjian setia pasangan itu ketika membina mahligai.

Mereka menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sewaktu dua tahun pertama perkahwinan, tetapi Cik Nurmin dikesan mempunyai sista ovari ketika menjalani rawatan tersebut, yang menjadikan peluang hamil semakin tipis.

“Kami sentiasa mahukan sesuatu yang lebih bererti, selain daripada diri kami sendiri.

“Kami boleh hidup berdua, tetapi kami rasa kehidupan akan lebih bermakna jika ada anak-anak dalam rumah.

“Hikmahnya, ada antara rangkaian rakan kami yang tampil memberi sokongan, termasuk ibu bapa titipan,” kata Cik Nurmin.

Satu sesi rumah terbuka mengenai program penjagaan titipan pada Julai 2024 mencetus keinginan bagi pasangan itu untuk menyertai program penjagaan titipan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Acara yang dianjurkan MSF bersama beberapa agensi penjagaan titipan lain, termasuk PPIS, memberi gambaran lebih jelas tentang realiti dan pengalaman yang mungkin dilalui sebagai ibu bapa titipan.

Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF mendedahkan terdapat 633 keluarga titipan yang berdaftar di bawah kementerian itu pada 2024, meningkat sebanyak 19 keluarga berbanding 614 pada 2023.

“Kami mendengar pelbagai pengalaman daripada rakan yang telah melalui perjalanan menjadi ibu bapa titipan.

“Ada kanak-kanak yang aktif, ada yang pendiam dan ada yang memerlukan perhatian berbeza.

“Jadi apabila kami membuat keputusan untuk menjadi ibu bapa titipan, kami sudah mempunyai gambaran lebih jelas tentang apa yang bakal kami lalui,” katanya.

Kurang setahun kemudian, pada Februari 2025, pasangan itu menerima anak titipan pertama mereka.

Ibu bapa anak titipan, Encik Muhammad Jabbar Jaafar dan Cik Nurmin Ahmad, telah menjaga tiga anak titipan sejak November 2024. Anak titipan pertama mereka, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan ketika ditempatkan bersama keluarga itu, kini telah kembali kepada keluarga kandungnya. Pasangan tersebut kini menjaga dua anak perempuan titipan, masing-masing berusia lima tahun dan setahun.
Ibu bapa anak titipan, Encik Muhammad Jabbar Jaafar dan Cik Nurmin Ahmad, telah menjaga tiga anak titipan sejak November 2024. Anak titipan pertama mereka, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan ketika ditempatkan bersama keluarga itu, kini telah kembali kepada keluarga kandungnya. Pasangan tersebut kini menjaga dua anak perempuan titipan, masing-masing berusia lima tahun dan setahun. - Foto ihsan MUHAMMAD JABBAR JAAFAR

Kehidupan Encik Jabbar yang baru bergelar ‘ayah’ ketika itu pula berubah sepenuhnya.

Menurutnya, kehadiran anak titipan itu mengubah rutin harian pasangan tersebut dengan pelbagai penyesuaian gaya hidup perlu dilakukan kerana ia kini dipenuhi kegiatan yang menyokong perkembangan dan pembelajaran anak titipan tersebut.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Perubahan gaya hidup kami juga berlaku serta-merta.

“Tumpuan kami tidak lagi hanya kepada diri sendiri, tetapi kepada apa yang terbaik untuk anak itu.

“Walaupun dia masih kecil dan belum memahami apa yang saya katakan, saya berbual dengannya setiap hari.

“Kami juga sentiasa mencari kegiatan yang boleh membantu perkembangannya.

“Antaranya, saya membawanya mengikuti kelas renang untuk ibu bapa dan anak supaya kami dapat meluangkan masa bersama sambil menyokong perkembangan kemahiran motornya,” kata Encik Jabbar.

Sejak 2024, pasangan itu telah menjaga tiga anak titipan.

Anak titipan pertama mereka, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan ketika ditempatkan bersama keluarga itu, kini telah kembali kepada keluarga kandungnya.

Pasangan tersebut kini menjaga dua anak perempuan berusia lima dan setahun.

Sempena Hari Bapa yang disambut pada 21 Jun, Encik Jabbar berkata:

“Apabila kita menjaga seorang anak, kita menjadi seorang ayah. Ia satu pilihan yang aktif.

“Bagi saya, menjadi ayah bukan sekadar soal pertalian darah. Ia bermakna memberi perhatian, menyediakan persekitaran yang selamat dan memikul tanggungjawab terhadap kesejahteraan anak itu setiap hari.

“Ia juga bukan tentang sama ada kanak-kanak itu akan berada dalam hidup saya selama-lamanya atau hanya untuk sementara waktu.

“Yang penting, sepanjang mereka bersama kami, mereka diberi peluang membesar dalam sebuah keluarga yang berfungsi dan menyediakan persekitaran yang baik untuk mereka berkembang,” katanya.

Bagi saya, menjadi ayah bukan sekadar soal pertalian darah. Ia bermakna memberi perhatian, menyediakan persekitaran yang selamat dan memikul tanggungjawab terhadap kesejahteraan anak itu setiap hari.
Encik Muhammad Jabbar Jaafar, bapa kepada anak titipan.