Bayangkan anda menolak seorang anak seberat 33 kilogram menggunakan kereta sorong sebelum mendukungnya sepanjang acara maraton separuh.
Apa yang dahulu kelihatan mustahil kini menjadi kenyataan penuh makna bagi Encik Wira Sudepja Rabu.
Bapa kepada seorang anak perempuan yang mempunyai Palsi Serebrum itu baru-baru ini menyertai Maraton Standard Chartered dan berlari sejauh 21 kilometer bersama anak istimewanya yang berlangsung di Singapura pada 6 Disember.
Warga Malaysia berusia 50 tahun itu yang menetap di Selangor hadir dengan persiapan rapi – kain selempang dan kereta sorong yang dilengkapi segala keperluan buat anaknya, Nur Wadihan Wira Sudepja, 17 tahun bagi mengharungi cabaran larian tersebut.
Wadihan disahkan mengalami Kuadriplegik Palsi Serebrum sejak lahir dan terpaksa terlantar di katil.
Kuadriplegik Palsi Serebrum ialah sejenis palsi serebrum yang menjejas tangan, kaki, badan serta muka seseorang.
Beliau juga tidak dapat bercakap dan memerlukan bantuan sepanjang hayatnya untuk bergerak, makan dan minum.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Wira berkata bahawa ini merupakan kali pertama beliau menyertai acara maraton separuh bersama Wadihan di Singapura.
Sebelum ini, pasangan duo itu hanya menyertai acara maraton sejauh 10 kilometer di Singapura pada 2023 dan 2024.
Pada 2025 sahaja, mereka berdua sudah menyertai tiga acara maraton separuh: di Hatyai, Thailand; Kuala Lumpur, Malaysia; dan yang terkini di Singapura.
Menurut pengurus logistik itu, suatu ketika dahulu keluarga mereka jarang keluar rumah kerana imuniti Wadihan yang rendah menyebabkan anaknya itu mudah jatuh sakit.
“Hampir tiga tahun kami sekeluarga jarang keluar rumah dan kurang berinteraksi dengan orang lain demi menjaga kesihatannya,” katanya.
Namun sebagai bapa kepada dua orang anak, beliau mengakui mereka sekeluarga mula berasa tidak aktif dan mahu mengubah gaya hidup.
Selepas berunding dengan doktor dan memberi anaknya itu makanan tambahan untuk mempertingkat kesihatan serta imuniti, beliau mula membawa Wadihan keluar untuk berjalan santai di sebuah taman di Putrajaya.
“Di situ, buat pertama kalinya saya lihat Wadihan ketawa apabila beberapa penunggang basikal melintasi kami.
“Dari situ saya terfikir, mengapa tidak cuba bawa beliau berbasikal? Jadi saya mula membuat beberapa kajian tentang apa yang perlu saya lakukan untuk keselesaannya,” tambahnya lagi.
Beliau kemudian mengimport sebuah kereta sorong khas yang boleh disambungkan pada basikal atau digunakan semasa berlari – lengkap dengan kusyen, kipas, lampin, tisu, glukos dan lain-lain lagi bagi memastikan keselesaan Wadihan.
Pada 2015, mereka mula menghadiri acara berbasikal awam walaupun pada awalnya bimbang akan pandangan masyarakat.
Sebaliknya, kehadiran mereka menginspirasikan orang ramai.
Menjelang 2018, Encik Wira dan Wadihan mencatat sejarah apabila mereka menjadi pasangan pertama bapa dan anak istimewa di Malaysia yang menyertai acara duathlon (larian–berbasikal–larian).
Pencapaian luar biasa itu melayakkan mereka menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.
Encik Wira juga merupakan pengasas kelab ‘Bikeisable’ – yang menghimpunkan seramai 100 keluarga yang mempunyai anak istimewa untuk bersenam dan berlari bersama setiap minggu.
Katanya setelah berjaya menormalisasikan larian maraton sedemikian di Malaysia, beliau ingin menyertai acara maraton di luar negara bagi menyebarkan kesedaran dan membawa sesuatu kelainan di peringkat antarabangsa termasuk Singapura.
Pada 6 Disember lalu, beliau menamatkan maraton separuh sejauh 21 kilometer bersama Wadihan, menolak kereta sorong khas sepanjang larian dan mengendong anaknya dengan selempang ketika melintasi garisan penamat – satu detik penuh simbolik baginya kerana selempang itu juga digunakan seharian di rumah bagi mengangkat Wadihan.
Bagi mempersiapkan diri, beliau akan berlatih tiga hari seminggu bersama anak keduanya itu.
Encik Wira turut berkongsikan detik tersebut di platform TikToknya yang turut meraih perhatian orang ramai.
Di video itu juga, ramai peserta lain dan penonton turut memberi sokongan dan sorakan kepada mereka apabila melintasi garisan penamat.
“Saya akui cabaran yang saya hadapi ialah apabila harus melakukan acara ini bersendirian dengan Wadihan tanpa bantuan,” katanya yang dahulunya menyertai maraton di Hatyai dan Kuala Lumpur bersama sahabat lain yang dapat membantunya khususnya dalam memberi minuman kepada Wadihan sepanjang larian mereka.
Namun, katanya, hasil dorongan isterinya Cik Nur Murni Dona Mohd Nordin, 51 tahun dan anak sulung mereka, Cik Nur Wirdani Wira Sudepja, 23 tahun menjadi pembakar semangatnya.
Tambahnya lagi, sepanjang 11 tahun menyertai acara daya ketahanan, Encik Wira masih lagi berdepan dengan stigma dan kritikan.
Sesetengah orang di media sosial menyifatkan ia “membuang masa” atau mempersoalkan kenapa beliau membawa anak istimewa ke luar rumah.
Satu komen viral di Twitter juga menyatakan: “Kalau itu dikira, saya pun boleh tolak nenek saya ke garisan penamat juga.”
“Jika kita mendedahkan kehidupan kita secara dalam talian, kita mesti bersedia dengan kritikan. Tapi saya bersyukur – komuniti menyokong saya. Sokongan itu lebih besar daripada kebencian,” katanya yang menepis segala kritikan.
Beliau menekankan bahawa usaha ini telah meningkatkan kebahagiaan dan respons Wadihan – satu bukti nyata bahawa apa yang dilakukan memang bermakna.
Malah, beliau juga berkongsi bahawa beliau berhasrat menyertai acara ultramaraton di Malaysia pada 2026 jika tiada halangan.
“Jika saya tidak mempunyai Wadihan, anda (orang awam) mungkin tidak akan mengenali saya hari ini. Beliau telah mengubah saya dan orang sekeliling hanya dengan menjadi dirinya sendiri,” akhiri Encik Wira.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg