Topik diikuti
Pergi ke BHkuBas elektrik baru mula operasi akhir 2026
Bas elektrik baru mula operasi akhir 2026
Penumpang akan dapat bergerak ke bahagian belakang bas dengan lebih mudah apabila kumpulan 660 bas elektrik baharu yang dilengkapi ciri khas mula beroperasi pada akhir 2026.
Antara ciri khas yang ditampilkan bas elektrik baharu ini termasuk laluan tengah yang rata tanpa anak tangga.
Ini bermakna penumpang – terutama warga emas – akan dapat menaiki bas, bergerak lebih jauh ke bahagian belakang bas, serta turun dari bas dengan lebih mudah.
Ketinggian anak tangga menuju ke tempat duduk di platform bertingkat telah dihadkan kepada 23 sentimeter.
Sekiranya tempat duduk terletak tepat di atas bahagian roda, ketinggian anak tangga berkenaan boleh mencecah sehingga 30 sentimeter.
Ciri-ciri tersebut merupakan antara reka bentuk khas yang diterapkan pada kumpulan bas baharu ini berdasarkan maklum balas penumpang, pemandu bas serta pengendali pengangkutan awam, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 4 November.
Ciri laluan tengah tanpa anak tangga ini direka bagi menangani aduan daripada penumpang warga emas yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat duduk.
Kira-kira 420 bas elektrik yang kini beroperasi di jalan raya telah melalui kerja pengubahsuaian sejak Oktober 2025.
Ini susulan maklum balas penumpang yang mendapati anak tangga menuju ke tempat duduk terlalu tinggi, dengan sesetengahnya mencecah sehingga 33 sentimeter.
Platform tambahan telah dipasang bagi mengurangkan ketinggian anak tangga berkenaan.
LTA menambah bahawa pihaknya akan terus mengumpul maklum balas daripada penumpang dan pemain industri berhubung kerja naik taraf serta perolehan kenderaan pada masa akan datang.
Langkah ini diambil bagi memastikan bas awam Singapura kekal selamat, selesa dan mudah diakses oleh semua penumpang, katanya.
Dua bas elektrik baharu yang dilengkapi ciri reka bentuk khas telah dipamerkan bagi tinjauan awal pihak media di Minggu Mobiliti Bandar Singapura, yang berlangsung dari 4 hingga 6 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.
Kumpulan bas baharu ini terdiri daripada kenderaan yang dihasilkan empat syarikat China, iaitu BYD, CRRC, Yutong dan Zhongtong Bus.
Kira-kira 360 daripadanya merupakan bas satu tingkat, manakala baki 300 adalah bas dua tingkat dengan tiga pintu.
Langkah ini membawa Singapura selangkah lebih dekat ke arah mencapai sasaran peralihan separuh daripada keseluruhan bilangan bas awam kepada bas elektrik menjelang 2030, kata Pengarah Sistem dan Aset Bas LTA, Encik Long Tian Feng.
Setakat akhir 2025, terdapat 6,067 bas awam di Singapura.