Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Baucar $300 sebulan bagi keluarga sewa rumah sementara tunggu BTO

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Baucar $300 sebulan bagi keluarga sewa rumah sementara tunggu BTO

Mar 05, 2024 | 06:25 PM



Keluarga yang layak dan sedang menanti flat Bina Ikut Tempahan (BTO) berpeluang memanfaatkan baucar sewa rumah bernilai $300 sebulan untuk membantu mengurangkan kos sewa flat atau bilik HDB daripada pasaran terbuka.

Daya usaha di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) itu akan dilaksanakan dari Julai 2024 hingga Jun 2025, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya.

Skim tersebut bertujuan memberi lebih banyak sokongan kepada keluarga yang layak, sedang HDB menambah lebih 2,000 unit flat yang dikosongkan di Tanglin Halt dalam bekalan rumah sementara di bawah PPHS pada suku kedua 2025.

Buat masa ini, HDB mempunyai sekitar 2,000 flat sewa sementara di bawah skim itu.

PPHS menyediakan perumahan sementara untuk keluarga yang mempunyai flat yang belum siap yang dibeli melalui pelancaran flat HDB.

Hanya keluarga dengan pendapatan bulanan $7,000 ke bawah layak memanfaatkan skim itu.

Untuk mendapatkan baucar sewa rumah, keluarga perlu memenuhi kriteria tertentu dan berdaftar dengan HDB sebagai penyewa semasa membuat permohonan.

Semasa perbahasan di Parlimen, beberapa anggota menimbulkan keprihatinan akan kemungkinan kesan baucar tersebut.

Ini termasuk sama ada penggunaan baucar akan menaikkan harga sewa, yang diutarakan Encik Murali Pillai (Bukit Batok).

Menurut Encik Lee, nilai baucar tersebut dipertimbang dengan teliti untuk membantu keluarga mengurangkan kos sewa flat dalam pasaran terbuka, dan pada masa yang sama mengurangkan kesan inflasi terhadap pasaran rumah sewa.

Keluarga yang layak akan menerima baucar tersebut dalam bentuk pembayaran semula, berdasarkan tempoh penyewaan mereka antara Julai 2024 dengan Jun 2025.

Jika layak mendapatkan sokongan setahun penuh, keluarga boleh menerima sehingga $3,600.

Baucar tersebut tidak akan diberikan kepada keluarga yang menyewa rumah daripada keluarga atau saudara.

Dalam pada itu, pemerintah turut melahirkan komitmen membangunkan sistem perumahan yang terangkumn bagi semua warga Singapura.

Menekankan perkara tersebut di Parlimen pada 5 Mac, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pemerintah akan terus berusaha memenuhi keperluan masyarakat yang berubah.

Menggariskan beberapa program ke arah matlamat tersebut, Dr Faishal memberi tumpuan kepada dua bidang – membantu keluarga berpendapatan rendah, memelihara mobiliti sosial serta memastikan Singapura kekal sebagai ‘rumah’ yang selesa bagi warga emas.

“Bagi keluarga berpendapatan rendah yang tidak mempunyai aturan perumahan lain, rumah sewa awam ini merupakan jaringan keselamatan sosial yang penting,” kata Dr Faishal.

Pemerintah telah menggabungkan bantuan rumah sewa dan sokongan sosial, dengan meletakkan semua keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di rumah sewa dalam Skim Sewa ComLink.

Sebanyak 700 keluarga kini berada di bawah program tersebut.

Keluarga yang tinggal di rumah sewa juga dibantu dalam membuat peralihan ke arah mendapatkan rumah sendiri.

Sekitar 8,300 keluarga dari rumah sewa awam berjaya beralih ke rumah sendiri sejak sedekad lalu.

Pada 2023, hampir 950 keluarga berpindah ke rumah sendiri – jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu.

Menyentuh tentang sokongan untuk golongan bujang dalam mendapatkan rumah sewa, Dr Faishal berkata pemerintah kini mempertimbang cara terbaik.

Salah satu daripadanya adalah melalui daya usaha, Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) yang bertujuan memberikan golongan bujang di rumah sewa awam privasi dan pada masa yang sama memanfaatkan ruang terhad dan mengelakkan daripada rasa terasing.

Menurut Dr Faishal, HDB bakal membuka permohonan bagi program perintis SRSF dalam suku kedua 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >