Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar CDC tamat tempoh pada 31 Dis

Baucar tidak diguna boleh diderma kepada Institusi Bertaraf Awam sehingga 31 Jan 2025
Dec 23, 2024 | 5:32 PM
Setiap isi rumah di Singapura telah menerima jumlah keseluruhan $800 baucar pada 2024 yang bakal tamat tempoh pada 31 Disember.
Setiap isi rumah di Singapura telah menerima jumlah keseluruhan $800 baucar pada 2024 yang bakal tamat tempoh pada 31 Disember. - Foto fail

Sekiranya anda masih mempunyai baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang diagihkan pada Januari dan Jun, anda hanya tinggal sekitar seminggu lagi untuk menggunakannya.

Setiap isi rumah di Singapura telah menerima jumlah keseluruhan $800 baucar pada 2024, dengan agihan sebanyak $500 pada Januari dan $300 lagi pada Jun.

Baucar itu, yang bakal tamat tempoh pada 31 Disember 2024, boleh digunakan di gerai makanan, perniagaan di kawasan kejiranan, dan pasar raya yang mengambil bahagian.

Perniagaan yang menerima baucar itu mempunyai pelekat CDC berwarna teal (hijau-biru) atau kuning yang dipamerkan di hadapan premis mereka.

Bagi mereka yang ingin menderma baucar CDC yang tidak digunakan kepada Institusi Bertaraf Awam (IPC), boleh berbuat demikian sehingga 31 Januari 2025.

Senarai IPC yang mengambil bahagian boleh didapati di https://vouchers.cdc.gov.sg/.

Selain makanan, baucar tersebut juga boleh digunakan bagi pelbagai keperluan lain termasuk di klinik gigi, kedai cermin mata dan perabot rumah.

Skim baucar CDC diperkenalkan pada Jun 2020 semasa pandemik Covid-19.

Ia khusus untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan harian mereka, sambil menyokong peniaga tempatan dan penjaja yang terkesan akibat pandemik.

Pada Disember 2021, skim itu diperluaskan kepada semua isi rumah sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas sikap perpaduan mereka semasa pandemik dan bagi membantu pemulihan perniagaan di kawasan kejiranan.

Laporan pada Jun 2024, menyatakan bahawa antara Disember 2021 dengan akhir tahun 2024, skim baucar CDC dijangka merangsang perbelanjaan sebanyak $900 juta di gerai-gerai penjaja dan perniagaan kejiranan yang mengambil bahagian.

Sehingga kini, skim itu telah mencetuskan hampir $650 juta perbelanjaan dalam kalangan peniaga dan penjaja kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.

Menurut satu laporan pada Februari 2024, sebanyak 1.27 juta, atau 95 peratus, isi rumah warga Singapura, telah menuntut baucar CDC 2024, dengan jumlah keseluruhan sebanyak $255 juta dibelanjakan penduduk sejak dilancar 3 Januari.

Sekitar $99 juta dibelanjakan pada peniaga dan penjaja yang mengambil bahagian, manakala baki $156 juta dibelanjakan di pasar raya.

Selain baucar CDC, pemerintah juga telah menawarkan pelbagai bantuan untuk terus ringankan beban inflasi termasuk melalui bayaran tunai dan rebat api air.

Dalam pada itu, ‘CDC Vouchers’ merupakan antara lima kata carian Google paling terkemuka Singapura pada 2024, menurut satu kenyataan syarikat gergasi Internet itu pada 10 Disember.

Laporan itu menambah, warga Singapura mencari inisiatif sokongan kewangan, seperti baucar CDC dan GST untuk mengendali perbelanjaan rumah di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg