Pihak penguasa kesihatan di Singapura kini memantau risiko wabak selanjutnya dengan keprihatinan yang meningkat terhadap empat penyakit iaitu Covid-19, H5N1, mpox dan sejenis penyakit misteri yang tular di wilayah Panzi, Republik Demokratik Congo.
Pemantauan lebih rapi ini dibuat sebagai mempersiapkan Singapura bagi kewujudan satu lagi pandemik, jelas Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam hantaran Facebook pada 21 Disember.
Menurut Encik Ong, pihaknya sedang memantau perkembangan di Republik Demokratik Congo (DRC), di mana sejenis penyakit misteri telah membunuh 6 peratus pesakit, yang kebanyakannya merupakan kanak-kanak.
Berdasarkan perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, 592 individu telah dijangkiti dan sekurang-kurangnya 37 pesakit telah meninggal dunia akibat penyakit itu.
“Itulah sebabnya Singapura memutuskan untuk menderma peralatan pengawasan kepada CDC Afrika dan bersedia untuk menyediakan latihan yang berkaitan kepada kakitangan penjagaan kesihatan di negara itu,” kata Encik Ong.
Dengan menggunakan perlambangan ‘antena’ atau wadah pengesanan, beliau berkata ‘antena’ Singapura sangat sensitif semasa penghujung tahun sambil menambah bahawa H5N1, atau dikenali sebagai selesema burung menimbulkan risiko wabak tertinggi.
Menurutnya lagi, Amerika Syarikat baru mengumumkan kes teruk pesakit pertama H5N1, seorang warga emas di Louisiana.
Daripada 61 kes yang dilaporkan di Amerika setakat ini, kebanyakannya mempunyai hubungan langsung dengan haiwan seperti burung dan lembu, yang memberi gambaran penularan penyakit dari haiwan kepada manusia.
“Apa yang kita perhatikan dengan teliti adalah bukti jangkitan penyakit dari manusia ke manusia.
“Jika itu berlaku, ini mungkin bermakna H5N1 telah bermutasi dan menimbulkan risiko pandemik,” kata Encik Ong.
Tanda-tanda H5N1 termasuk demam panas, sakit tekak dan kesukaran bernafas.
Mengenai penyakit misteri di Republik Demokratik Congo, Encik Ong berkata penguasa kesihatan di negara itu mengumumkan bahawa kes tersebut mungkin disebabkan oleh penyakit malaria yang teruk.
Ia ditambah dengan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, yang menjadikannya penyakit memudaratkan.
Mengulas tentang sub-varian mpox, Klad 1 pula, Encik Ong menekankan bahawa di kebanyakan negara, termasuk di benua Afrika seperti Rwanda, kebanyakan pesakit telah pulih dan “ia bukan penyakit yang membawa maut”.
Kementerian Kesihatan (MOH), ujarnya, akan terus memantau kemunculan gelombang jangkitan Covid-19.
Menurutnya, mungkin dari masa ke masa, apabila lebih ramai orang dijangkiti pada masa yang berbeza, gelombang jangkitan ini akan menjadi lemah.
“Setiap kali ia berlaku, ia meningkatkan beban pesakit di hospital kami dengan ketara,” katanya, yang menambah pemerintah akan kekal berwaspada.
Dalam pada itu, Encik Ong yang ditemui media di Pusat Penuaan Aktif (AAC) Blossom Seeds di Canberra bagi satu acara sambutan Krismas yang diusahakan kakitangan syarikat logistik terkemuka, UPS, pada 21 Disember, turut mengulas isu pembatalan kesen penyedia khidmat telekonsultasi perubatan MaNADr Clinic.
Acara itu dikendalikan bersama UPS, Blossom Seeds dan Persatuan Rakyat (PA).
Encik Ong menekankan bahawa meskipun telah berlaku kesilapan beberapa penyedia kemudahan teleperubatan, iaitu satu perkhidmatan doktor dalam talian, peraturan lanjut tidak diperlukan untuk sektor tersebut.
“Kita hanya perlu memastikan kewaspadaan dan mengambil tindakan apabila orang ramai melanggar rangka kerja sedia ada ini, jadi tidak ada keperluan untuk peraturan baru,” katanya.
MOH mengumumkan pada 20 Disember bahawa ia telah membatalkan lesen untuk MaNaDr Clinic, yang perkhidmatannya termasuk telekonsultasi melalui aplikasi mudah alih.
Menurut MOH, organisasi itu mempunyai “budaya yang kukuh dalam mengabaikan piawai etika serta klinikal yang berkenaan”.
MOH turut menyatakan bahawa sebilangan besar kes yang dikendalikan oleh MaNaDr Clinic melibatkan telekonsultasi yang singkat, dengan telekonsultasi paling singkat berlangsung selama hanya satu saat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg