Semua isi rumah warga Singapura yang tinggal di hartanah privet akan menerima Baucar Iklim bernilai $400 mulai 15 April 2025 di bawah Program Isi Rumah Mesra Iklim (CFHP) yang dipertingkat.
Isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang telah menerima Baucar Iklim bernilai $300 pada 2024, pula akan menerima tambahan $100 mulai tarikh sama.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli 10 jenis peralatan isi rumah yang menjimatkan tenaga serta air, seperti alat hawa dingin, mesin basuh dan peti sejuk, di lebih 150 peruncit yang mengambil bahagian.
Ia boleh digunakan hingga 31 Disember 2027.
Mengumumkan demikian dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menggalak semua isi rumah membuat peralihan ke produk yang lebih cekap jika mereka belum melakukannya.
“Pemerintah sedang mengambil langkah untuk menghijaukan sektor pengangkutan dan tenaga kita, dan untuk melindungi pulau kita daripada risiko iklim. Warga Singapura juga mempunyai peranan untuk dimainkan dalam hal ini.
“Kemampanan adalah tanggungjawab semua. Individu mempunyai kuasa untuk memacu perubahan menerusi pilihan dan kelakuan mereka,” kata Encik Wong.
Program CFHP diperkenalkan pada November 2020 bagi menggalak isi rumah mengambil tindakan agar menjadi lebih cekap dalam penggunaan air dan tenaga sambil menjimatkan bil utiliti dalam jangka panjang.
Pada waktu itu, hanya flat HDB satu hingga tiga bilik layak mendapat baucar bernilai $225 yang boleh digunakan untuk membeli tiga jenis peralatan.
Pada 2024, pemerintah mempertingkatkan CFHP dengan menawarkannya kepada semua isi rumah HDB dan meningkatkan kadar baucar kepada $300.
Penggunaannya juga diperluas kepada lebih banyak jenis produk cekap tenaga dan air.
Peningkatan pada 2025 pula merangkumi isi rumah warga Singapura yang tinggal di hartanah privet bermakna CFHP akan meliputi sekitar 90 peratus isi rumah di sini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg