Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar makanan ringankan beban kewangan warga emas Siglap

Maliki: Skim baru turut pupuk jalinan sosial dengan galak mereka makan di luar, libatkan diri dalam masyarakat
Jan 5, 2025 | 9:40 PM
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), beramah-tamah  bersama warga emas di pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward di kedai makan Mohamed Waseef pada 5 Januari. Inisiatif itu menyediakan baucar makan bernilai $10 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), beramah-tamah bersama warga emas di pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward di kedai makan Mohamed Waseef pada 5 Januari. Inisiatif itu menyediakan baucar makan bernilai $10 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. - Foto BH oleh KHALID BABA

Isu seperti cabaran kewangan dalam memenuhi keperluan harian dan risiko pengasingan sosial terus menjadi kebimbangan utama ramai warga emas berpendapatan rendah di Siglap, kata Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Lantaran itu, usaha lebih khusus dihasilkan untuk membantu golongan tersebut, seperti baucar makanan di bawah inisiatif baru Siglap Plate It Forward.

Bercakap semasa pelancaran inisiatif itu di kafe Tuck In dan kedai makan Mohamed Waseef pada 5 Januari, Dr Maliki berkata usaha itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan sambil memupuk hubungan sosial dengan menggalak mereka makan di luar serta melibatkan diri dengan masyarakat. 

Inisiatif anjuran Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF) Siglap itu akan dilaksana sepanjang 2025 dan sebahagian daripada sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60) serta sejajar dengan visi kawasan East Coast untuk membina masyarakat yang penyayang dan inklusif.

“Di East Coast, kami sedar bahawa berdasarkan demografik, kami mempunyai peratusan warga emas yang lebih tinggi berbanding purata negara dan itulah sebabnya tumpuan hari ini adalah kepada warga emas. Kami kini mempunyai pangkalan data sekitar 100 warga emas yang tinggal sendirian atau bersama pasangan mereka di flat HDB.

“Inisiatif ini menangani kekurangan dalam sokongan masyarakat. Ia menyasarkan warga emas yang masih aktif dan tinggal secara berdikari tetapi menghadapi masalah kewangan pada usia lanjut mereka,” kata Dr Maliki, yang juga penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC East Coast.

Daripada sekadar sokongan subsidi, inisiatif itu memberi warga emas peluang keluar rumah untuk berhubung dengan warga emas lain, kekal aktif serta memanfaat sokongan dan kemudahan yang disediakan masyarakat, tambah beliau.

Dalam acara itu, 40 warga emas berpendapatan rendah berusia 60 tahun dan ke atas diberi baucar makanan bernilai $10 setiap satu. Baucar itu boleh ditebus dari 5 Januari hingga 31 Disember di kafe Tuck in di Blok 1158 Bedok South Ave 3 dan kedai makan Mohamed Waseef di Blok 73 Bedok South Ave 3. Kededua kedai makan itu menokok $2 kepada setiap baucar, membolehkan warga emas menebus hidangan berharga $12.

Antara mereka yang menerimanya ialah Cik Faridah Salamat, 65 tahun, seorang pengangkat barangan di Hospital Besar Singapura (SGH) yang sedang bercuti tanpa gaji tiga bulan disebabkan masalah kelemahan pada kakinya dan katarak pada kededua matanya.

Menurut Cik Faridah, yang tinggal sendirian di Blok 69 berhampiran kedai makan Mohamed Waseef, baucar tersebut bukan sahaja membolehkannya membeli makanan, malah membantu membina hubungan sosial yang lebih baik.

“Saya jarang masak. Saya cuma makan maggi ataupun biskut sahaja. Inisiatif ini bagus kerana ia membantu kami yang sudah lanjut usia, berpendapatan rendah dan bersendirian,” ujar beliau.

Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (kiri), yang juga Penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC East Coast bersama salah seorang penerima manfaat, Cik Faridah Salamat (kanan), 65 tahun di kedai makan Mohamed Waseef semasa pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward pada 5 Januari.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (kiri), yang juga Penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC East Coast bersama salah seorang penerima manfaat, Cik Faridah Salamat (kanan), 65 tahun di kedai makan Mohamed Waseef semasa pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward pada 5 Januari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Warga emas rakyat Singapura yang layak menerima baucar tersebut – mereka yang mempunyai kad biru Chas dan tinggal bersendirian atau bersama pasangan mereka di kawasan Siglap – boleh membuat permohonan di Kelab Masyarakat Siglap.

Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), yang juga Penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC East Coast bersama warga emas di kafe Tuck in semasa pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward. Inisiatif tersebut berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Disember.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), yang juga Penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC East Coast bersama warga emas di kafe Tuck in semasa pelancaran inisiatif Siglap Plate It Forward. Inisiatif tersebut berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Individu yang ingin menyumbang boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan di kedai makan tersebut.

Setakat ini, seramai 20 penderma telah menyokong inisiatif tersebut, kongsi Pejabat Kawasan Undi Siglap.

Seorang penerima manfaat, Cik Faridah Salamat (kiri), 65 tahun, menebus baucar makan bernilai $10 di kedai makan Mohamed Waseef. Bersamanya ialah pemilik kedai makan Mohamed Waseef, Encik Sathik Ali (kanan).
Seorang penerima manfaat, Cik Faridah Salamat (kiri), 65 tahun, menebus baucar makan bernilai $10 di kedai makan Mohamed Waseef. Bersamanya ialah pemilik kedai makan Mohamed Waseef, Encik Sathik Ali (kanan). - Foto PEJABAT KAWASAN UNDI SIGLAP

Dr Maliki mengulas: “Inisiatif ini menghimpunkan tiga golongan penting – perniagaan tempatan, penderma dan penerima manfaat.

“Kami ingin menyokong perniagaan tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, menggalak individu yang berkemampuan untuk menyumbang, serta membantu warga emas yang telah memainkan peranan penting dalam masyarakat kita.”

Individu yang ingin menyumbang boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan di kafe Tuck in yang terletak Blok 1158 Bedok South Ave 3 dan kedai makan Mohamed Waseef di Blok 73 Bedok South Ave 3.
Individu yang ingin menyumbang boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan di kafe Tuck in yang terletak Blok 1158 Bedok South Ave 3 dan kedai makan Mohamed Waseef di Blok 73 Bedok South Ave 3. - Foto PEJABAT KAWASAN UNDI SIGLAP

Inisiatif tersebut menyasar membantu seramai 100 warga emas sebagai permulaan, dengan rancangan untuk memperluaskan sokongan kepada mereka yang mungkin memerlukan bantuan tambahan sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg