Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pemerintah akan terus beri lebih bantuan kepada warga

Skim, program diteliti agar lebih banyak prihatin harian rakyat ditangani kata PM Wong dalam lawatan ke GRC Jalan Besar
Jan 4, 2025 | 7:22 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong (duduk) bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar - Cik Josephine Teo (duduk), Encik Heng Chee How (tiada dalam gambar), Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (berdiri dua dan tiga dari kanan) - serta AP Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin (berdiri kanan), menemui penduduk pada acara ‘SG60 Bina dengan Kasih Sayang’ di Kreta Ayer Square pada 4 Januari.
Perdana Menteri Lawrence Wong (duduk) bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar - Cik Josephine Teo (duduk), Encik Heng Chee How (tiada dalam gambar), Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (berdiri dua dan tiga dari kanan) - serta AP Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin (berdiri kanan), menemui penduduk pada acara ‘SG60 Bina dengan Kasih Sayang’ di Kreta Ayer Square pada 4 Januari. - Foto ST

Lebih banyak bantuan akan diberi kepada warga Singapura pada Februari, apabila Belanjawan baru diumumkan.

Semasa satu lawatan ke GRC Jalan Besar pada 4 Januari, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata beliau tahu ramai warga Singapura prihatin akan cabaran seperti kos sara hidup, dan pemerintah sedang menangani perkara itu.

Pada 3 Januari, Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 setiap satu diagihkan kepada setiap isi rumah warga Singapura.

“Saya harap ini akan menjadi permulaan yang baik untuk anda dan ia akan membantu anda sedang anda membuat persiapan bagi tahun akan datang.

“Kami akan terus memberi lebih banyak bantuan bagi warga Singapura. Belanjawan akan dibentangkan bulan depan,” kata Encik Wong. Belanjawan akan dibentangkan pada 18 Februari.

Beliau menambah: “Jadi kami akan terus meneliti skim dan program serta cara kami boleh memberikan lebih banyak bantuan kepada warga Singapura, untuk kos sara hidup, untuk keprihatinan harian anda dan, yang penting, untuk membantu kita semua menjadikan kenyataan impian dan aspirasi kita bersama.”

Sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Mei 2024, Encik Wong telah mengunjungi beberapa kawasan undi, termasuk Tanjong Pagar, Ang Mo Kio dan Tampines.

Lawatan ke GRC Jalan Besar adalah lawatan ke kawasan undi pertama beliau pada 2025.

Dengan 2025 menandakan ulang tahun kemerdekaan ke-60 (SG60) Singapura, Encik Wong berkata orang ramai dapat melihat sejauh mana kemajuan negara ini kerana semua orang bekerjasama, terutamanya generasi Perintis dan Merdeka.

“SG60 adalah masa untuk kita bukan sambut sahaja. Ia adalah masa untuk kita merenung sejauh mana kita telah melangkah sebagai sebuah negara, tentang siapa kita sebagai rakyat, dan yang penting, tentang Singapura yang bagaimana yang kita ingin lihat pada masa hadapan untuk generasi akan datang,” kata beliau.

Semasa lawatan itu, Encik Wong mengambil bahagian dalam inisiatif ‘SG60 Bina dengan Kasih Sayang’ di Kreta Ayer Square, dengan 1,000 isi rumah kurang bernasib baik di Kreta Ayer-Kim Seng (KAKS) diberi kotak hadiah KAKS SG60.

Dianjurkan oleh pertubuhan akar umbi Kreta Ayer-Kim Seng, projek yang dipacu masyarakat itu bertujuan memupuk perpaduan, keterangkuman dan keprihatinan dalam kalangan penduduk sambil menyambut SG60.

Encik Wong turut menyertai 60 penduduk menyiapkan peta Singapura terbesar yang diperbuat daripada kotak hadiah SG60. Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Josephine Teo, Encik Heng Chee How, Cik Denise Phua dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah, serta AP Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin, turut hadir.

Sebagai sebahagian inisiatif itu, sekitar 1,000 penduduk dan sukarelawan KAKS memasang kotak hadiah dan mengarang mesej peribadi untuk penerima kotak tersebut.

Kotak hadiah itu mengandungi barangan seperti kusyen dan selimut SG60, tuala serta penghalau serangga yang ditaja oleh rakan kongsi korporat dan penderma.

Cik Teo, yang juga Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, berkata semangat mengambil berat dan berkongsi mesti menjadi teras Singapura.

“Inisiatif ini benar-benar merangkumi semangat ‘bersama-sama kita berkembang’. Ia bukan mengenai kotak hadiah sahaja; ia mengenai cara kita semua bersatu untuk mewujudkan sebuah masyarakat lebih inklusif dan penyayang,” katanya.

Selepas acara itu, Encik Wong berjalan di sekitar Chinatown Complex dan mengunjungi penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas PCF Sparkle Care @ Kreta Ayer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg