Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar Pengangkutan Awam manfaat lebih banyak isi rumah

Permohonan bagi Baucar Pengangkutan Awam (PTV) dibuka mulai 14 Jan
Jan 13, 2025 | 6:28 PM
Isi rumah dengan pendapatan bulanan yang tidak melebihi $1,800 boleh memohon untuk Baucar Pengangkutan Awam (PTV) dari 14 Januari hingga 31 Oktober 2025. 
Isi rumah dengan pendapatan bulanan yang tidak melebihi $1,800 boleh memohon untuk Baucar Pengangkutan Awam (PTV) dari 14 Januari hingga 31 Oktober 2025.  - Foto ST

Isi rumah yang layak boleh membuat permohonan untuk Baucar Pengangkutan Awam (PTV) bernilai $60 dari 14 Januari hingga 31 Oktober 2025.

Baucar tahun ini bernilai lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya - iaitu $50 - dan akan diagihkan kepada lebih banyak isi rumah.

Ini memandangkan kriteria pendapatan baucar ini telah diperluas bagi merangkumi isi rumah dengan pendapatan bulanan per kapita yang tidak melebihi $1,800, lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu $1,600.

Mereka boleh memohon secara dalam talian atau di Kelab Masyarakat (CC) untuk meringankan beban kenaikan tambang pengangkutan awam.

Mereka yang sudah pun menerima surat pemberitahuan PTV boleh mengikut arahan dalam surat tersebut untuk mendapatkan baucar melalui aplikasi SimplyGo, kios SimplyGo, kios tambah nilai, kios perkhidmatan bantuan, pejabat tiket SimplyGo atau pusat perkhidmatan tiket SimplyGo.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) pada 13 Januari, penduduk juga boleh mendapatkan bantuan di CC berdekatan jika mempunyai sebarang pertanyaan.

Setiap isi rumah yang layak akan menerima satu baucar PTV yang boleh digunakan untuk menambah nilai kad tambang atau membeli pas bulanan.

Baucar itu sah digunakan sehingga 31 Mac 2026.

Ini menyusuli fasa pertama pelaksanaan program tersebut yang selesai pada Disember 2024.

Sekitar 270,000 isi rumah yang menerima baucar semasa pelaksanaan pada 2023 dan masih memenuhi kriteria kelayakan pendapatan isi rumah telah menerima surat pemberitahuan secara fizikal, digital, atau kedua-duanya.

Langkah itu dijangka memanfaatkan 60,000 lagi isi rumah.

Ini menyusuli kenaikan tambang pengangkutan awam sebanyak 6 peratus sebagai sebahagian daripada langkah penyesuaian tambang tahunan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) bagi 2024, yang diumumkan pada 9 September.

Tambang kereta api dan bas bagi orang dewasa naik sebanyak 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 28 Disember.

Tambang konsesi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah pula naik 4 sen bagi setiap perjalanan.

Penumpang perlu membayar tambahan itu jika mereka membuat pembayaran menggunakan kad debit, kad kredit, atau kad tambang.

Penumpang yang membuat pembayaran secara tunai di bas tidak dikenakan kenaikan itu.

Harga pas perjalanan bulanan dewasa dan pas konsesi bulanan juga tidak akan naik.

PTC, yang mengawal selia khidmat pembayaran tambang dan tiket, menjelaskan penyesuaian tambang 6 peratus pada 2024 didorong perkembangan inflasi dan gaji pada 2023.

Penyesuaian tambang itu mempertimbangkan kos sara hidup rakyat Singapura, justeru kenaikan itu tidak dilakukan secara keseluruhan bagi “mengurangkan beban penumpang daripada kenaikan tambang penuh”, kata PTC.

Menurut PTC, kenaikan 6 peratus itu adalah sekitar sepertiga lebih rendah berbanding 18.9 peratus kenaikan yang dibenarkan bagi 2024.

Disebabkan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) berkata pemerintah akan menyediakan baucar pengangkutan awam bernilai $60 setiap satu kepada isi rumah penduduk berpendapatan rendah, iaitu yang berpendapatan bulanan hingga $1,800 setiap orang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg