Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayaran angkut sampah naik mulai 1 Jul seiring peningkatan kos

Mar 28, 2024 | 5:54 PM
Mulai 1 Julai, setiap isi rumah perlu membayar lebih untuk bayaran angkut sampah ekoran kenaikan kos operasi dan tenaga kerja.
Mulai 1 Julai, setiap isi rumah perlu membayar lebih untuk bayaran angkut sampah ekoran kenaikan kos operasi dan tenaga kerja. - Foto ST

Mulai 1 Julai, setiap isi rumah perlu membayar lebih bagi bayaran angkut sampah berikutan kenaikan kos operasi dan tenaga kerja.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata dalam satu kenyataan pada 28 Mac bahawa bayaran bulanan kutipan sampah bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan perumahan privet seperti kondominium dan apartmen privet akan naik daripada $9.81 kepada $10.20, naik sebanyak 39 sen.

Bayaran bulanan bagi mereka yang tinggal di hartanah berhalaman pula akan meningkat daripada $32.67 kepada $34 – naik $1.33.

NEA berkata bayaran yang disemak itu akan memastikan keseluruhan sistem pengurusan sisa Singapura boleh beroperasi secara mampan.

“Bayaran kutipan sampah untuk isi rumah disemak setiap dua tahun.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, purata bayaran pemungut sampah awam (PWC) telah meningkat seiring peningkatan kos operasi dan tenaga manusia,” kata NEA.

Setiap bulan, setiap isi rumah membayar bayaran kutipan sampah melalui bil utiliti bulanan kepada satu daripada tiga pemungut sisa awam Singapura.

Pemungut sisa awam itu adalah 800 Super Waste Management, Alba W&H Smart City dan SembWaste.

Mereka dilantik melalui persaingan tender terbuka, kata NEA.

SembWaste pula berkhidmat untuk sektor Clementi-Bukit Merah dan Bandar-Punggol; 800 Super berkhidmat bagi sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh dan Pasir Ris-Bedok; manakala Alba W&H berkhidmat bagi sektor Jurong dan Woodlands-Yishun.

NEA berkata kutipan sampah isi rumah bagi mereka yang tinggal di flat HDB boleh diimbangi dengan Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) U-Save dan Pakej Jaminan (AP) U-Save.

Rebat U-Save, yang diberikan setiap suku tahun, akan dikredit pada April, Julai, Oktober dan Januari 2025.

Rebat dikredit terus ke akaun utiliti isi rumah yang layak yang diuruskan oleh pembekal utiliti SP Services.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg