Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayaran khas pemerintah bantu keluarga harungi kos sara hidup
Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL) ringankan beban kewangan isi rumah
Sejak konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) bermula pada Februari, Cik Hasnah Masnod akur beliau dan keluarganya terpaksa mengharungi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Nenek lima cucu berusia 67 tahun itu, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa harga tong gas (12.7 kilogram) untuk rumahnya – yang diganti setiap 10 hingga 15 hari – telah meningkat daripada $35 kepada $38 sejak sekitar Mei lalu.
Begitu juga dengan harga barang dapur yang beransur naik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau menanggarkan perbelanjaan barangan dapur, termasuk beras dan minyak masak, bagi isi rumahnya kini melebihi $100 sebulan.
Sejak perang bermula, Cik Hasnah memerhatikan harga paket Milo 3-in-1 meningkat daripada sekitar $5 kepada $7, manakala satu tin sardin meningkat sebanyak $1.
Beliau juga memerhatikan jumlah barang pasar yang boleh dibeli dengan $50 kini semakin kurang.
Untuk menjimat kos, Cik Hasnah rajin mencari dan membeli bahan-bahan daripada pasar berlainan berdasarkan harga yang paling rendah.
Namun, kenaikan itu tetap menjejas pendapatannya hasil daripada menjual kuih Apam Cina. Misalnya, harga untuk bahan penaik kuih itu telah meningkat daripada $4 kepada $5.80 sebotol sejak sekitar Februari.
Meskipun begitu, Cik Hasnah, yang tinggal bersama empat ahli keluarga di sebuah flat empat bilik, bersyukur atas pelbagai bantuan kewangan pemerintah yang dihulurkan sepanjang tahun ini.
Segala bantuan tersebut, termasuk Baucar GST (GSTV) dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), telah meringankan beban perbelanjaan isi rumah mereka.
Beliau tinggal bersama suaminya, Encik Mawi Ismail, 70 tahun, yang bertugas sebagai pemandu bas sekolah.
Turut duduk serumah ialah anak ketiganya, Encik Muhammad Faiz Mawi bersama isterinya, Cik Nuaimah Sani, kedua-duanya berusia 32 tahun. Pasangan muda ini yang bekerja, mempunyai seorang bayi berusia lapan bulan, Yusuf Muhammad Faiz.
Mereka seisi rumah bakal menerima lebih banyak bantuan menerusi Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL) Belanjawan 2026 bermula 9 September ini.
Cik Hasnah akan menerima $500 daripada pengagihan bantuan tunai itu. Secara keseluruhannya, isi rumah itu akan menerima $2,000 menjelang September.
Antara syarat yang ditetapkan untuk menerima bayaran tersebut termasuk seseorang itu merupakan warga Singapura yang menetap di negara ini dan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun pada 2026.
Selain itu, pendapatan mereka yang boleh ditaksir bagi tahun pentaksiran 2025 tidak boleh melebihi $100,000, dan mereka juga tidak boleh memiliki lebih daripada satu hartanah.
Tiada permohonan diperlukan untuk mendapatkan bayaran khas ini.
Jumlah bayaran tersebut diberikan mengikut kadar nilai tahunan kediaman seseorang seperti yang tercatat pada Kad Pengenalan (NRIC) mereka sehingga 31 Disember 2025.
Langkah ini ditetapkan bagi memberi sokongan lebih baik kepada golongan kurang berkemampuan, kata MOF.
Dengan kos sara hidup yang telah meningkat, Cik Hasnah amat bersyukur menerima bantuan kewangan COL terkini.
Bantuan itu mampu meringankan kos perniagaan kuih Apam Cina beliau.
Cik Hasnah, yang bertugas sambilan sebagai jurulatih senaman sambilan di beberapa masjid dan kelab masyarakat selama sekitar tiga dekad, menjual kuih Apam Cina kepada peniaga lain untuk menjana pendapatan tambahan.
Sejak perang Iran-AS bermula, perniagaan itu terjejas oleh harga tong gas dan barang dapur lain yang telah meningkat secara beransur.
Menurut beliau, kertas untuk membungkus kuih apam kini berharga $7, meningkat daripada $6.50 beberapa bulan lalu.
Baru-baru ini, Cik Hasnah mula menjual kuih apam kepada pegerai dengan harga $1.50 sekeping berbanding $1.20 sekeping sebelum ini.
“Kos semuanya naik, jadi kami rasakan gaji kami cukup-cukup makan sahaja. Dengan adanya bantuan sebegini, sekurang-kurangnya keperluan yang terpaksa kami tangguhkan sebelum ini boleh dapat dibeli.
“Sebagai contoh, barangan rumah yang rosak atau berisiko membahayakan kini lebih mudah untuk diganti,” kongsi Cik Hasnah, yang mempunyai tiga orang anak.
Cik Hasnah, yang juga merupakan naib pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Jawatankuasa Penduduk (RC) di Kelab Masyarakat Chua Chu Kang, juga bersyukur menerima bantuan kewangan pemerintah yang lain sepanjang tahun ini.
Sebelum ini, Cik Hasnah telah menerima bantuan Baucar GST (GSTV) sebanyak $850.
Cik Hasnah amat lega menerima bantuan itu, kerana ia membantunya menggantikan peti ais yang rosak tepat sebelum baucar GSTV tersebut diagihkan.
Tokokan MediSave juga telah membantu mereka menampung kos rawatan, termasuk kos pembedahan katarak (selaput mata) suaminya, tambah Cik Hasnah.
Bayaran khas demikian turut akan memanfaatkan anggota keluarga lain di rumah itu.
Pada setiap dua minggu dalam sebulan, anak keduanya, Encik Muhammad Hafiz Mawi, 38 tahun, bersama isteri, Cik Nur Imanina Aminordin, 37 tahun, akan tinggal serumah sementara menunggu flat HDB mereka siap pada 2029.
Mereka berdua sedang membesarkan putera berusia dua tahun, Ijaz Hanzal.
Beliau dan suaminya masing-masing akan menerima $500.
Cik Nur Imanina, seorang suri rumah, menyambut baik bantuan COL terkini dan yakin bantuan tunai itu akan membantu menampung perbelanjaan keperluan cahaya mata mereka.
“Kami memerhatikan barang keperluan kami meningkat sejak kebelakangan ini. Misalnya, barang yang boleh dibeli dengan $50 semakin kurang.
“Selain barang dapur dan keperluan asas, bantuan kewangan ini akan ditumpukan kepada keperluan anak kami yang sudah mula makan makanan pejal.
“Ia juga akan membantu kami membeli minyak bayi, losyen, lampin dan juga buku bacaan untuk anak kami,” tambah Cik Nur Imanina.
