Setiap isi rumah Singapura akan menerima tambahan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 pada Januari 2027, bagi membantu meringankan kesan kenaikan kos sara hidup ekoran krisis Timur Tengah yang berterusan.

Baucar itu yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2027, adalah tambahan kepada baucar bernilai $500 yang diberikan pada Jun kepada kira-kira 1.38 juta isi rumah Singapura.

Dengan pengagihan pada Jun 2026 dan Januari 2027, jumlah keseluruhan baucar CDC yang akan diagihkan pada tahun kewangan 2026 akan meningkat kepada $800.

Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow berkata baucar tambahan itu bertujuan untuk membantu isi rumah dengan perbelanjaan harian dan mengurangkan kesan inflasi.

“Kami percaya ini adalah tindak balas yang tepat memandangkan keadaan ekonomi hari ini. Pada masa yang sama, kami menyedari bahawa keadaan sejagat masih sangat tidak menentu.

“Dan jika keadaan berubah, kami bersedia untuk bertindak balas,” kata Encik Siow, yang juga Menteri Pengangkutan.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa sidang media pada 29 Julai bagi mengumumkan pakej kedua sokongan pemerintah bernilai sekitar $900 juta untuk isi rumah dan perniagaan.

Turut berucap di sidang media tersebut ialah Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang membentangkan sokongan buat perniagaan, khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME).

Jika diambil kira bersama pakej $1 bilion yang diumumkan pada April, pakej keseluruhan yang diagihkan oleh pemerintah akan bernilai sekitar $2 bilion – melebihi apa yang telah disediakan dalam Belanjawan 2026.

Seperti pengagihan lalu, baucar CDC $300 ini akan dibahagikan sama rata untuk kegunaan antara peniaga dan penjaja di pusat beli-belah yang mengambil bahagian, serta pasar raya yang menyertainya.

Semasa menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) dalam sidang media itu, Cik Low berkata baucar CDC telah membantu rakyat mengurangkan sebahagian daripada tekanan kos sara hidup mereka.

Selain itu, ia turut mendorong permintaan dan menggalak pengunjung berbelanja di pasar dan pusat penjaja di kawasan kejiranan, sekali gus menyokong pegerai tempatan.

“Kita juga telah melihat bagaimana pasar raya bertindak balas untuk membantu rakyat Singapura melanjutkan baucar CDC mereka dengan memberikan rebat yang sangat menarik di pasar raya masing-masing.

“Jadi, kami akan terus menggunakan kisah-kisah yang menggalakkan ini untuk mengemukakan kes kepada Kementerian Kewangan, agar mempertimbangkan menyertakan baucar CDC sebagai sebahagian daripada langkah sokongan pada masa hadapan,” kata Cik Low.

Sehingga 28 Julai, kira-kira $345 juta telah dibelanjakan untuk baucar CDC yang dilancarkan pada Januari, dan $285 juta lagi telah dibelanjakan untuk baucar yang dikeluarkan pada Jun.

Kira-kira $1.75 bilion dalam baucar SG60 juga telah dibelanjakan sejak ia diberikan pada Julai 2025, kata Cik Low.

Semasa sidang media, Encik Siow turut mengumumkan bahawa pemerintah akan memberikan rebat U-Save tambahan pada Oktober 2026 dan Januari 2027 untuk membantu isi rumah dengan bil elektrik mereka.

Ia adalah tambahan kepada rebat Belanjawan 2026 yang diberikan pada April dan Julai 2026, yang telah diagihkan kepada lebih sejuta isi rumah.

Secara keseluruhannya, isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima antara $110 dengan $190 setiap suku tahun, bergantung pada jenis flat.

Sokongan tambahan itu bermakna isi rumah akan menerima seganda jumlah Baucar GST (GSTV) – U-Save biasa pada bulan-bulan tersebut.

Seperti contoh, bagi isi rumah flat HDB satu dan dua bilik, mereka akan menerima $190 pada Oktober 2026, dan juga jumlah yang sama pada Januari 2027, naik daripada $95 bagi bulan-bulan itu sebelum ini.

“Jumlah ini akan mengimbangi sepenuhnya kesan bil utiliti yang lebih tinggi bagi kebanyakan isi rumah yang tinggal di flat HDB empat bilik atau flat yang lebih kecil sehingga Mac tahun depan (2027),” kata Encik Siow.

Menurut Encik Siow, harga tenaga sejagat dijangka terus kekal tinggi, dan akan mendorong antara lain, kos elektrik.

Isi rumah Singapura akan menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 17 peratus dari Julai hingga September, manakala tarif gas akan meningkat sebanyak 7.1 peratus.

Pihak berkuasa berkata pada Jun bahawa kenaikan tertinggi rekod itu adalah disebabkan oleh harga gas asli yang lebih tinggi di tengah-tengah konflik Timur Tengah.

Harga gas asli telah meningkat mendadak dari akhir Februari, dan kekal tinggi dari April hingga Jun, yang membawa kepada kos pengeluaran elektrik dan gas yang lebih tinggi di sini.