Isi rumah di Singapura akan membayar lebih untuk perkhidmatan pengumpulan sisa awam mulai 1 Julai.

Yuran bulanan bagi penduduk rumah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan hartanah bukan berhalaman akan meningkat sebanyak 44 sen, daripada $10.20 kepada $10.64, menurut kenyataan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 12 Jun.

Bagi penduduk hartanah berhalaman pula, yuran bulanan akan diselaraskan kenaikannya sebanyak $1.50, daripada $34 kepada $35.50.

Kadar baharu ini sudah merangkumi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 9 peratus.

Pelarasan ini penting bagi memastikan kemampanan jangka panjang sistem pengurusan sisa di Singapura, tegas NEA.

NEA menjelaskan bahawa semakan berkala ini perlu bagi menampung peningkatan kos operasi serta tenaga kerja yang ditanggung oleh pihak pengumpul sisa awam.

Penduduk flat HDB boleh memanfaatkan rebat U-Save suku tahunan untuk membantu melangsaikan bayaran ini.

Rebat bagi tahun kewangan 2026 akan dikreditkan secara berperingkat-peringkat pada April, Julai, dan Oktober, serta Januari 2027.

Bantuan yang dikreditkan terus ke akaun utiliti SP Services ini merupakan sebahagian daripada skim Baucar GST kekal untuk meringankan beban kos sara hidup isi rumah.

Kali terakhir yuran pengumpulan sisa awam disemak adalah pada 2024.