Bil utiliti di S’pura mungkin naik susulan kenaikan cukai karbon pada 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bil utiliti di S’pura mungkin naik susulan kenaikan cukai karbon pada 2026

Bil elektrik, gas flat HDB 4 bilik biasa dijangka meningkat sekitar $3 sebulan
Jan 23, 2026 | 4:06 PM

Bil utiliti di S’pura mungkin naik susulan kenaikan cukai karbon pada 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cukai Karbon, 2026, Rebat U-Save HDB, Bil Elektrik,  Kos Sara Hidup, Penggunaan Tenaga Efisien, Tarif Gas 2026
Harga bil utiliti elektrik dan gas bagi sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik biasa dijangka meningkat sekitar $3 sebulan, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). - Foto fail

Bil elektrik dan gas bagi sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik biasa dijangka meningkat sekitar $3 sebulan, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menurut seorang jurucakap pemerintah pada 21 Januari. Anggaran ini dibuat dengan andaian faktor pasaran lain yang mempengaruhi tarif suku tahunan kekal tidak berubah.

Namun, isi rumah mungkin berasa lega sekurang-kurangnya sehingga Mac, kerana bil elektrik dan gas lebih rendah menyusuli kos tenaga dan bahan api yang lebih rendah.

Selain itu, rebat turut diberikan untuk mengurangkan kesan kenaikan cukai itu.

Jurucakap itu berkata, penurunan kos tenaga pada suku tahun ini (2026) mengatasi kesan kenaikan cukai karbon.

Laporan sebelum ini menyebut, tarif elektrik bagi rumah akan turun sebanyak 0.84 sen setiap kilowatt sejam (kWh), manakala tarif gas pula akan turun sebanyak 0.67 sen setiap kWh, dari Januari hingga Mac.

Kadar cukai karbon Singapura telah meningkat sejak 2024, dalam langkah yang bertujuan mendorong pengeluar besar – termasuk sektor tenaga – mengurangkan pelepasan, dengan mengenakan kos ke atas pencemaran yang dilakukan.

Kadar cukai $5 setiap tan antara 2019 dengan 2023 dianggap rendah, berbanding peningkatan kepada $25 pada 2024 dan 2025. Kenaikan ini menyebabkan bil utiliti bulanan bagi sebuah flat empat bilik biasa meningkat sekitar $4.

Kadar cukai $45 bagi pengeluar karbon akan dikekalkan sehingga 2027, dengan sasaran untuk naik kepada antara $50 dengan $80 setiap tan menjelang 2030.

Bagi membantu isi rumah menampung perbelanjaan bil utiliti, Pemerintah menyediakan rebat U-Save sehingga $380 setahun, dengan jumlah itu digandakan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ini dilakukan “untuk menyokong kos sara hidup di tengah-tengah inflasi lebih tinggi serta mengurangkan kesan kenaikan cukai karbon dan harga air”, jelas jurucakap itu.

Pada Januari, lebih 950,000 isi rumah warga Singapura di flat HDB akan menerima rebat U-Save sehingga $190.

“Pemerintah akan terus menilai sokongan ini bagi memastikan isi rumah menerima bantuan yang mencukupi,” kata jurucakap itu.

Ahli ekonomi serta rakan kongsi di syarikat perundingan industri tenaga The Lantau Group, Encik David Broadstock, menyatakan bahawa kenaikan cukai karbon yang dirancang dalam beberapa tahun akan datang boleh hampir menggandakan kesan ke atas bil utiliti menjelang 2030.

“Cukai karbon membantu mengumpul dana untuk menangani kesan pencemaran yang timbul daripada penghasilan tenaga… tetapi ia juga meningkatkan harga tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga yang boleh dielakkan,” jelas Encik Broadstock.

“Harga tenaga perlu dinaikkan secukupnya bagi mewujudkan perubahan sebenar, tetapi pada masa yang sama, kenaikan itu perlu berlaku pada kadar yang memberi pengguna masa untuk membuat persediaan dan penyesuaian pada tabiat mereka.”

Pemerhati iklim, Cik Melissa Low, berkata meskipun isi rumah boleh menjangkakan bantuan melalui rebat U-Save, ia mungkin tidak dapat menampung kenaikan keseluruhan dalam jangka panjang.

Cik Low, yang juga felo penyelidikan di Pusat Penyelesaian Iklim Berasaskan Alam, Universiti Nasional Singapura (NUS), menasihati isi rumah supaya beralih kepada peralatan cekap tenaga dan mengamalkan tabiat penggunaan tenaga lebih efisien.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg