Tanggal 9 Ogos detik yang mendebarkan tetapi menggembirakan bagi dua pasangan yang menyambut kelahiran cahaya mata mereka sempena Hari Kebangsaan.
Pasangan pertama, Encik Muhammad Faiz Shah Iskandar Shah, seorang kakitangan awam dan isteri, Cik Nur Zuhairah Anuar, seorang pentadbir, menyambut kelahiran cahaya mata kedua tepat pada tengah malam 9 Ogos.
Cik Nur Zuhairah, 25 tahun, selamat melahirkan anak perempuan seberat 3.18 kilogram di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH), menjadikan anak pasangan itu antara bayi pertama sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-59.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Faiz, 28 tahun, berkongsi bahawa kedua-dua bayi dan ibu berada dalam keadaan sihat dan bayi dilahirkan secara semula jadi.
“Alhamdulillah, bayi selamat lahir. Sebenarnya kami tiada niat (atau rancang kelahiran ini) tetapi ini semua rezeki,” ujarnya yang menetap di Woodlands.
Beliau dan isteri sebenarnya menghadiri janji temu di KKH bagi pemeriksaan kehamilan secara rutin buat si ibu apabila doktor menyatakan serviks (bahagian leher rahim) isterinya sudah mulai terbuka atau melebar.
Beliau berkata mereka tiba di hospital sekitar 3.45 petang pada 8 Ogos dan menunggu lebih lapan jam sebelum Cik Nur Zuhairah mengalami penguncupan sekitar 11 malam dan bayi dilahirkan sejurus selepas itu.
“Kami juga menanti sekitar lapan jam ketika anak pertama kami lahir pada 28 Jun 2022.
“Tapi kali ini, kami rasa lebih santai dan sudah tentu, kami begitu gembira dengan kelahiran anak perempuan kami,” ujar Encik Faiz.
Mentelah timangan cahaya mata kali ini lebih istimewa bagi mereka kerana si ibu pula menyambut hari lahirnya pada 10 Ogos.
Dalam pada itu, Cik Azizah Omar, 34 tahun, dan Encik Aufa Ahmad Ridwan Salleh Hoddin, 39 tahun, turut menimang ‘bayi Hari Kebangsaan’.
Ini merupakan cahaya mata pertama mereka.
Ketika dihubungi, Cik Azizah berkongsi bahawa beliau selamat melahirkan anak lelaki seberat 2.962 kilogram secara semula jadi pada 2.58 pagi di KKH.
Cik Azizah menyifatkan anak pertamanya ini sebagai ‘anak bulan madu’ apabila mereka berbulan madu di Phuket dan Bangkok. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2023.
Beliau akur bahawa mereka berasa ghairah tatkala menanti kehadiran anak pertama kerana ketika beliau hamil, pasangan tersebut sedang melalui beberapa detik penting.
“Banyak perkara berlaku pada satu-satu masa. Kami pindah rumah, sedang ubah suai rumah, antara lain. Mujur kami dapat sokongan daripada ahli keluarga,” ujar Cik Azizah, pengarah urusan sebuah syarikat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg