Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar tingkat disiplin, atasi cabaran imbang masa dek latihan NDP

Aug 8, 2024 | 5:13 PM
Maisarah Mohamed Nizar, 10 tahun, dari Sekolah Rendah Valour, akan membuat persembahan di NDP 2024 sebagai maskot Singa The Lion.
Maisarah Mohamed Nizar, 10 tahun, dari Sekolah Rendah Valour, akan membuat persembahan di NDP 2024 sebagai maskot Singa The Lion. - Foto JAWATANKUASA EKSEKUTIF NDP 2024 

Membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) memerlukan pengorbanan yang besar lebih-lebih lagi buat pelajar yang harus mengimbangi masa sekolah dan latihan.

Hal ini dapat dirasakan Maisarah Mohamed Nizar yang bakal membuat persembahan di NDP 2024 sebagai maskot Singa The Lion.

Pelajar berusia 10 tahun dari Sekolah Rendah Valour itu harus mengorbankan waktu rehatnya seperti menonton televisyen untuk membuat kerja sekolah.

“Saya harus membuat pengorbanan itu, ia bukan untuk ibu bapa saya tetapi untuk diri saya sendiri.

“Kalau saya tonton televisyen dan tidak dapat membuat kerja sekolah, saya tidak akan rasa tenang,” kata Maisarah yang akan melakukan kerja sekolahnya pada Ahad jika latihan berlarutan pada Sabtu.

Tambahan kepada tempoh latihan yang panjang, yang kadangkala berlangsung dari 7 pagi hingga 9 malam, dia juga perlu menghadapi cabaran cuaca panas.

“Saya rasakan bahawa saya tidak boleh berputus asa kerana saya sudah sampai di sini dan tidak boleh sia-siakan peluang ini,” ujar Maisarah yang tetap bersemangat melalui pengalaman berharga ini.

Buat Sekolah Rendah Valour, mereka satu-satunya sekolah rendah yang terlibat di NDP 2024.

Sebagai maskot Singa The Lion, antara latihan yang dia harus lalui ialah kerap berjalan, menari dan juga menghayunkan badan.

Dengan latihan yang memenatkan serta jadual harian yang amat padat, dia perlu mempunyai disiplin yang tinggi.

Selain bersekolah, dia juga mempunyai kelas Bahasa Melayu Lanjutan pada Isnin dan kegiatan kokurikulum (CCA) Kelab Seni Visual dan Seni Media pada setiap Khamis di samping kelas bahasa Cina pada setiap Jumaat.

Menurut ayahnya, Encik Nizar Sultan, beliau dan isterinya perlu menyiapkan jadual waktu di rumah untuk Maisarah.

“Selalunya dia sendiri akan mengusahakan kerja sekolahnya, tetapi ada masanya kami perlu menggesanya juga seperti membuat latihan subjek Matematik dan Sains.

“Namun, terdapat beberapa perkara yang kami tidak perlu beri dorongan seperti subjek Bahasa Inggeris dan Melayu, dua subjek yang dia suka dan akan berlatih sendiri,” kata Encik Nizar yang berpendapat bahawa Maisarah sedang menangani segala tanggungjawab dengan baik.

Beliau menyifatkan Maisarah, anak sulung empat beradik, sebagai seorang yang berbakat dalam seni dan budaya serta tidak gentar untuk berada di atas pentas.

Apabila pertama kali melihat Maisarah di atas pentas sewaktu raptai NDP, Encik Nizar berbangga dengan persembahan anaknya.

Usaha anaknya untuk beberapa bulan berbaloi dan akhirnya dapat disaksikan pasangan suami isteri itu di atas pentas.

Kalau saya tonton televisyen dan tidak dapat membuat kerja sekolah, saya tidak akan rasa tenang... Saya rasakan bahawa saya tidak boleh berputus asa kerana saya sudah sampai di sini dan tidak boleh sia-siakan peluang ini.
Maisarah Mohamed Nizar, pelajar Sekolah Rendah Valour.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg