Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bazar Kampong Gelam 2025 lebih mampan, mesra alam

Feb 6, 2025 | 9:03 PM
Pihak menganjur berkongsi lakaran acara bagi bazar Kampong Gelam 2025 dalam satu sidang media di Masjid Sultan pada 6 Februari, yang dikongsi oleh (dari kiri) Pengarah Kreatif Doublevv Studios dan pengurus kempen bazar, Encik Burhan Jumadi; Pengarah Jualan Eventify dan penganjur bazar, Encik Kamal Rouzie dan Naib Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Mehmet Gul.
Pihak menganjur berkongsi lakaran acara bagi bazar Kampong Gelam 2025 dalam satu sidang media di Masjid Sultan pada 6 Februari, yang dikongsi oleh (dari kiri) Pengarah Kreatif Doublevv Studios dan pengurus kempen bazar, Encik Burhan Jumadi; Pengarah Jualan Eventify dan penganjur bazar, Encik Kamal Rouzie dan Naib Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Mehmet Gul. - Foto ZAOBAO

Kemampanan merupakan tumpuan bazar Ramadan Kampong Gelam 2025, dengan penggunaan penjana kuasa bateri berkuasakan tenaga suria diperkenalkan buat pertama kali – bagi menjana tenaga di beberapa bahagian bazar tersebut.

Sebahagian besar penjual makanan dan minuman (F&B) akan menggunakan bahan bungkusan mudah urai (biodegradable) atau boleh dikitar semula dan memberi insentif untuk pengunjung membawa botol sendiri bagi minuman.

Demikian antara usaha kemampanan yang diumumkan penganjur bazar edisi kelima itu dalam satu sidang media di Masjid Sultan pada 6 Februari.

Bertemakan Gemilang Kampong Gelam seperti edisi sebelumnya, bazar anjuran One Kampong Gelam (OKG) itu akan berlangsung selama 35 hari dari 19 Februari hingga 25 Mac, dengan 120 gerai, termasuk 80 gerai makanan dan minuman (F&B) dan 40 gerai jualan runcit.

Menyentuh berkenaan harga sewa, Pengarah Jualan Eventify dan penganjur bazar, Encik Kamal Rouzie, berkata harga sewa yang dikenakan antara $13,800 dengan $14,500 bagi gerai F&B telah ditetapkan.

Ini kali kedua berturut-turut syarikatnya dipilih menganjurkan bazar Kampong Gelam – pertama kali pada 2024, yang menarik sekitar 1.1 juta pengunjung.

Menurutnya, harga sewa musim kali ini “tidak banyak naik” berbanding harga gerai F&B musim lalu, iaitu antara $13,300 dengan $13,800.

“Harga $14,500 hanyalah untuk lokasi tertentu dengan lebih ruang di hadapan gerai,” tambahnya.

Harga sewa bagi gerai runcit ditetapkan antara $3,500 dengan $3,800, setanding harga 2024, iaitu antara $3,500 dengan $4,000, ujarnya, sambil menambah bahawa beliau tidak menjangkakan sebarang kenaikan pada harga pengguna.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Doublevv Studios, yang juga pengurus kempen bazar itu, Encik Burhan Jumadi, berkata usaha kemampanan dijangka mengurangkan jejak karbon yang sering terkait dengan pengendalian bazar berskala besar seperti bazar Kampong Gelam.

Beliau memberi contoh antara lain, penggunaan penjana kuasa bateri berkuasakan tenaga suria oleh syarikat penyelesaian tenaga hijau tempatan, Gorental.SG, akan menjana tenaga untuk gerai jualan runcit dan lampu gerbang masuk bazar.

Menurutnya, penggunaan penjana kuasa hijau dapat mengurangkan sehingga 5,000 kilogram pengeluaran karbon sepanjang bazar itu berlangsung, berbanding penjana kuasa konvensional yang dikuasakan bahan api – yang akan digunakan bagi kegunaan gerai F&B.

Ini di samping penggunaan bahan bungkusan mudah urai dan penggunaan botol air sendiri oleh pengunjung, yang akan ditekankan kepada vendor F&B dan pelawat menerusi wadah media sosial, jelas Encik Kamal.

Beliau berkata: “Sebagai pihak penganjur, kami akan memberi penekanan kepada vendor sedemikian kerana vendor ini sangat terlibat dalam pemasaran produk mereka… melalui hantaran media sosial masing-masing.

“Sudah tentu kami juga akan gunakan wadah media sosial sendiri. Jadi ini adalah gabungan usaha (pendedahan) awam dan vendor.”

Bazar kali ini dibuka dari 2 petang hingga 11 malam setiap Isnin hingga Khamis manakala bagi Jumaat hingga Ahad, ia ditutup pada 11.30 malam.

Naib Pengerusi OKG, Encik Mehmet Gul, berkata: “Visi kami adalah mudah; untuk menghormati Ramadan bukan sebagai tunjang agama semata-mata, ia adalah masa bermuhasabah, (serlahkan) perpaduan dan kemurahan hati (serta) menyokong perniagaan tempatan, artis dan bakat.”

Susunan acara ‘Gemilang Kampong Gelam’ ini disokong Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Masjid Sultan.

Salah satu acara ialah Larian Amal Kampong 2025 selain aktiviti mengumpul setem berwarna sempena meraikan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg