Mengumpul setem berwarna semasa meneroka pelbagai jalan di Kampong Gelam, dan mencari duit syiling yang tersembunyi di seluruh kawasan tersebut berjumlah sehingga $32,000 sepanjang 35 hari.
Inilah antara kegiatan yang disediakan sempena Ramadan akan datang dalam acara Gemilang Kampong Gelam (GKG) 2025, sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60), untuk menggalakkan pengunjung menghargai dengan lebih baik sejarah Singapura dan meraikan warisan budaya Kampong Gelam.
Acara-acara tersebut akan berlangsung mulai 19 Februari hingga 25 Mac, melibatkan sebanyak 120 gerai – termasuk gerai runcit serta makanan dan minuman (F&B).
Menurut satu kenyataan media One Kampong Gelam (OKG) pada 6 Februari, acara-acara tersebut merupakan satu wadah bagi orang ramai meraikan warisan, masyarakat dan kemampanan.
“Sebagai sebahagian daripada sambutan SG60 tahun ini dan sedang negara ini mengenang semula sejarahnya, GKG teruja untuk memperkenalkan tiga kegiatan baru yang menggalak pelawat untuk lebih menghargai kawasan yang tersembunyi, yang kaya dengan sejarah,” kata kenyataan itu.
Tiga kegiatan itu termasuk lawatan ‘kampung’ di mana orang ramai berpeluang meneroka kawasan Kampong Gelam; mencari ‘harta karun’ di mana orang ramai berpeluang memenangi wang tunai sehingga $32,000; dan kegiatan mengumpul setem bagi melengkapkan cenderahati berbentuk poskad.
Salah seorang penganjur GKG pada Ramadan ini, yang juga Pengarah Jualan Eventify, Encik Kamal Rouzie, berkata aktiviti mencari harta karun adalah satu peluang untuk mengeratkan lagi hubungan antara vendor dan pihak berkepentingan dengan pengunjung di Kampong Gelam.
“Ini adalah peluang terbaik untuk kita bekerjasama dengan vendor dan pihak berkepentingan di Kampong Gelam.
“Jadi, jumlah pengunjung yang bertambah bukan sahaja memberi manfaat kepada vendor atau peniaga untuk meningkatkan jualan, tetapi juga memberi ganjaran kepada orang ramai,” kongsi beliau kepada Berita Harian (BH) selepas acara sidang media di Masjid Sultan.
Dianggarkan sekitar 1.1 juta pengunjung akan membanjiri bazar tersebut yang akan berlangsung selama 35 hari.
Selain itu akan diadakan juga pertunjukan cahaya yang akan menyinari Masjid Sultan setiap malam – Jumaat hingga Ahad – sepanjang 35 hari itu.
Ia akan berlangsung selang 15 minit dari 7.40 malam hingga 9 malam.
Dalam pada itu, satu acara larian amal akan diadakan buat julung-julung kalinya untuk menandakan permulaan acara GKG 2025 itu.
Dinamakan Larian Amal Kampong 2025, ia akan berlangsung pada 15 Februari dari 6 pagi hingga 10 pagi.
Jarak larian sepanjang 2.4 kilometer itu akan bermula dari Kelab Masyarakat Kampong Gelam dan berakhir di Bussorah Street.
Apabila ditanya BH tentang kepentingan larian amal itu, pengurus kempen GKG 2025, yang juga pengarah kreatif syarikat Doublevv Studios, Encik Burhan Jumadi, berkata:
“Ternyata, kesemua dana yang dikumpulkan akan diagihkan kepada para benefisiari di bawah Kelab Masyarakat Kampong Gelam. Pada masa yang sama, ia bagi mempersiapkan diri menjelang Ramadan. Selain itu, ia adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kempen mengenai penggunaan dadah, (menyusuli kerjasama kami dengan kempen Drugfree SG).”
“Saya rasa ia sama penting bagi belia sekarang untuk tidak terlibat dalam perkara seperti ini.”
GKG 2025 disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar, dengan Coca-Cola dan ParkRoyal di Beach Road sebagai rakan kongsi minuman rasmi dan rakan kongsi hotel rasmi masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg