Cahaya gemerlapan menyinari kawasan Kampong Gelam dengan bazar tahunan di kawasan bersejarah itu dibuka secara rasmi pada 21 Februari.
Bazar Kampong Gelam 2025 tahun ini lebih mampan dan mesra alam dengan penggunaan penjana kuasa bateri berkuasakan tenaga suria.
Ia diperkenalkan buat kali pertama – bagi menjana tenaga di beberapa bahagian bazar tersebut.
Anjuran One Kampong Gelam, edisi kelima bazar itu akan berlangsung selama 35 hari hingga 25 Mac, dengan menampilkan 120 reruai, termasuk 80 reruai makanan dan minuman (F&B) dan 40 reruai bagi jualan runcit.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, hadir selaku tetamu terhormat di majlis pembukaan rasmi bazar itu, diiringi Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Turut hadir ialah Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua dan pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Ma’arof.
Bertemakan, Gemilang Kampong Gelam, acara tahunan itu dilancarkan secara rasmi dengan penyalaan lampu, ‘fairy light’.
Majlis pembukaan itu turut diserikan dengan persembahan tarian Melayu dan silat, serta pertunjukan cahaya Masjid Sultan dengan latar belakang kawasan bersejarah Kampong Gelam.
Ditemui media, Dr Faishal berkata bazar di Kampong Gelam itu bukan hanya membolehkan pengunjung menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, malah merasakan nilai warisan yang kaya di kawasan itu.
“Anda dapat rasakan nilai warisan yang mendalam dan kukuh, di mana orang ramai bukan hanya meluangkan masa bersama, bahkan juga menikmati persekitaran dan suasananya.
“Namun, dengan Pelan Daerah (diumumkan pada 2023 untuk meningkatkan warisan, tawaran dan pengalaman Kampong Gelam), ini sesuatu yang boleh kami terus kembangkan, tingkatkan kerancakannya, untuk menjadikan ia relevan bukan hanya kepada generasi lalu mengimbas kenangan, bahkan juga untuk generasi muda,” kata beliau.
“
“Anda dapat rasakan nilai warisan yang mendalam dan kukuh, di mana orang ramai bukan hanya meluangkan masa bersama, bahkan juga menikmati persekitaran dan suasananya. Namun, dengan Pelan Daerah (diumumkan pada 2023 untuk meningkatkan warisan, tawaran dan pengalaman Kampong Gelam), ini sesuatu yang boleh kami terus kembangkan, tingkatkan kerancakannya, untuk menjadikan ia relevan bukan hanya kepada generasi lalu mengimbas kenangan, bahkan juga untuk generasi muda.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg