Harga sewa gerai bagi dua bazar Ramadan tahunan utama di Singapura – Bazar Ramadan Geylang Serai dan Bazar Kampong Gelam – secara purata kekal stabil pada 2026, menurut tinjauan Berita Harian (BH).
Bazar Ramadan Geylang Serai dijadual berlangsung selama 35 hari dari 14 Februari hingga malam Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mac. Bazar di Kampong Gelam pula berlangsung selama 33 hari dari 11 Februari hingga 15 Mac.
Salah seorang penjaja F&B yang telah mendapatkan gerai di Bazar Ramadan Geylang Serai berkata beliau menjangka untuk membayar sekitar $19,000 secara keseluruhan selama 35 hari bazar tersebut dijalankan, dengan yuran sewa asas sebanyak $15,000, serupa dengan apa yang beliau bayar pada 2025.
Bazar Ramadan Geylang Serai dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai (WGS) dan dikendali oleh pengendali pihak ketiga, S-Lite Group.
BH telah menghubungi penganjur dan pengendali bazar tersebut untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, sambutan dari penyewa amat menggalakkan di Bazar Kampong Helam, dengan lebih 90 peratus daripada 103 gerai yang ditawarkan telah ditempah, menurut pengerusi One Kampong Gelam (OKG), Encik Zaki Ma’arof, yang juga penganjur bazar tersebut.
Beliau menjangka baki gerai akan diambil penyewa tidak lama lagi.
“Jumlah (penyewa) berkemungkinan besar akan meningkat kerana kami masih menantikan bayaran daripada beberapa gerai untuk mengesahkan ruang mereka.”
Sewa bagi gerai F&B di Bazar Kampong Gelam diturunkan sedikit berbanding 2025 dan 2024 menurut Encik Zaki.
Gerai F&B ditawarkan dengan harga antara $10,000 dengan $13,000 pada 2026 berbanding antara $13,800 dengan $14,500 pada tahun sebelumnya. Pada 2024, gerai F&B ditawarkan dengan harga antara $13,300 dengan $13,800.
Kadar kos sewa bagi gerai runcit pula kekal dalam lingkungan $3,000 bagi 2026, berbanding pada 2025, iaitu sekitar $3,500 hingga $3,800. Pada 2024, gerai runcit ditawarkan dengan sewa antara $3,500 dengan $4,000.
Walapun Bazar Kampong Gelam dijadual berakhir pada 15 Mac, lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 21 Mac pada 2026.
Bazar Ramadan Geylang Serai akan berlangsung sehingga malam Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mac, dan berlarutan sehingga 6 pagi pada Hari Raya Aidilfitri. Ia berlangsung sehingga 11.59 malam pada hari-hari yang lain.
Encik Zaki juga berkongsi lebih 70 peratus daripada 103 gerai yang ditawarkan di Bazar Kampong Gelam merupakan gerai F&B.
Bazar Kampong Gelam pada 2025 dan 2024 masing-masing menarik hampir sejuta pengunjung.
Antara lain, bazar di kawasan itu telah dikaitkan dengan makanan ‘viral’ atau tular di media sosial dan juga sebagai bazar yang lebih mesra pengunjung lebih muda.
Aktiviti sampingan yang dianjurkan, kebanyakan pada hujung minggu, seperti persembahan jalanan atau ‘busking’ dan penampilan artis jemputan dari luar negara telah memperkukuh imej ini.
Kali ini, penganjur juga sedang dalam perancangan untuk reruai ‘pop-up’ khas untuk pemilik perniagaan dari rumah (HBB).
“Saya pasti akan ada lebih banyak peniaga yang akan membawa makanan viral kali ini,” kata Encik Zaki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg