Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BCA: Permintaan binaan di Spura dijangka antara $47b - $53b pada 2025

Permintaan binaan pada 2024 mencapai $44.2b, lebihi ramalan pertengahan tahun
Jan 23, 2025 | 5:26 PM
Peningkatan projek perumahan yang besar menyumbang kepada permintaan pembinaan lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024.
Peningkatan projek perumahan yang besar menyumbang kepada permintaan pembinaan lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024. - Foto Fail BT

Jumlah nilai kontrak pembinaan dijangka antara $47 bilion dengan $53 bilion pada 2025. 

Sebagai perbandingan, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata jumlah permintaan pembinaan sementara pada 2024 mencapai $44.2 bilion, melebihi ramalan pertengahan tahun yang diunjurkan antara $35 bilion dengan $41 bilion.

Menurut BCA, peningkatan permintaan pembinaan disebabkan oleh peningkatan projek institusi awam serta pembangunan perumahan awam dan privet, lapor The Business Times.

Jika disesuaikan mengikut inflasi, permintaan yang dijangka untuk 2025 akan berada antara $35 bilion dengan $39 bilion, iaitu 0.3 hingga 11.7 peratus lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik pada 2019.

“Permintaan yang tinggi disebabkan oleh projek besar seperti Terminal 5 (T5) di Lapangan Terbang Changi, peluasan Marina Bay Sands, serta pembangunan perumahan awam dan kerja menaik taraf,” kata BCA.

Selain itu, bangunan industri, kemudahan pendidikan, kesihatan, dan projek rel dijangka meningkatkan permintaan.

Antara 2026 dengan 2029, BCA menjangka permintaan pembinaan antara $39 bilion dengan $46 bilion setahun, walaupun jadual dan fasa projek mungkin berubah disebabkan risiko yang tidak dijangka. 

Projek T5 Changi dijangka menjadi projek luar biasa, dan permintaan industri mungkin ‘perlahan’ selepas tempoh itu.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata projek utama akan datang termasuk kemudahan masyarakat yang baru, loji pengurusan sisa, dan pembaharuan sekolah. 

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara pemaju, perunding, dengan pembina untuk memanfaatkan peluang-peluang itu dengan lebih baik.

Lebih 15 projek awam dan privet akan menggunakan kontrak kolaboratif, lima daripadanya menggunakan NEC4. 

Pendekatan itu bertujuan mengagihkan risiko dan keuntungan secara adil antara pihak yang terlibat, berbanding pendekatan yang kurang efisien sebelum ini.

Pemerintah juga memberi lebih banyak masa kepada syarikat menyesuaikan diri dengan Corenet X, iaitu “platform digital bersepadu” yang memudahkan syarikat mendapatkan kelulusan pihak berkuasa. 

Encik Lee mengumumkan bahawa penghantaran melalui Corenet X akan diwajibkan untuk semua projek baru dengan keluasan lantai kasar 30,000 meter persegi atau lebih bermula 1 Oktober 2025.

Mulai 1 Oktober 2026, penghantaran melalui Corenet X akan diwajibkan untuk semua projek baru, dan semua projek yang sedang berjalan perlu didaftarkan ke dalam sistem tersebut menjelang 1 Oktober 2027. 

Sebelum ini, semua projek baru dijadualkan untuk dihantar melalui Corenet X mulai 1 April 2025. Encik Lee berkata pemerintah telah memperbaiki proses dan platformnya berdasarkan maklum balas industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg