Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA beri kontrak sivil bagi kerja binaan Fasa 2 Laluan Rentas Pulau

Jun 19, 2024 | 6:31 PM
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak sivil bernilai sekitar $242 juta untuk reka bentuk dan pembinaan terowong antara stesen West Coast (CR18) dan stesen Jurong Lake District (CR19) bagi Laluan Rentas Pulau (CRL) Fasa Kedua.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak sivil bernilai sekitar $242 juta untuk reka bentuk dan pembinaan terowong antara stesen West Coast (CR18) dan stesen Jurong Lake District (CR19) bagi Laluan Rentas Pulau (CRL) Fasa Kedua. - Foto LTA

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak sivil bernilai sekitar $242 juta untuk mereka bentuk dan membina terowong antara stesen West Coast (CR18) dan stesen Jurong Lake District (CR19) bagi Fasa Kedua Laluan Rentas Pulau (CRL).

Kontrak itu diberikan kepada syarikat usaha sama Nishimatsu Construction – Okumura Corporation Cawangan Singapura.

Menurut kenyataan LTA pada 19 Jun, Nishimatsu Construction sedang membina terowong antara stesen Tampines North (CR6) dan stesen Defu (CR7) setelah menyiapkan kerja-kerja terowong di stesen Keppel bagi Laluan Circle 6 serta stesen Gardens by the Bay bagi Laluan Thomson-East Coast.

Okumura Corporation juga berpengalaman dalam kerja berkaitan terowong di Singapura dan luar negara, setelah terlibat dalam projek seperti Sistem Pembetungan Terowong Dalam serta Hong Kong Mass Transit Railway dan Laluan Lapangan Terbang MRT Taipei.

LTA berkata kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2024 dan perkhidmatan penumpang bagi CRL Fasa Kedua disasarkan untuk dimulakan pada 2032.

Kontrak ini merangkumi pembinaan terowong berkembar sepanjang 2.4 kilometer di bawah terusan Sungei Pandan dan prasarana utama seperti West Coast Highway dan Ekspreswe Ayer Rajah.

Ia juga dijangka akan mencapai kedalaman sehingga 40 meter, melebihi kedalaman 30 meter yang biasa untuk stesen lain.

Dalam pada itu, tanah di kawasan ini kebanyakannya terdiri daripada tanah lapuk dan batu sedimen keras.

“Pemantauan masa nyata dan langkah keselamatan akan dilaksanakan semasa kerja-kerja terowong.

“LTA dan kontraktor akan melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang diperlukan untuk memastikan kestabilan tanah dan pembinaan yang selamat, serta mengurangkan kesan kepada pihak berkepentingan yang berdekatan dan infrastruktur,” ujar LTA.

CRL, laluan MRT kelapan Singapura, akan berkhidmat untuk pembangunan di koridor timur, timur laut dan barat, menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.

Hampir separuh daripada stesen CRL merupakan pusat tukaran dengan laluan rel lain, menjadikannya lebih mudah bagi penumpang merentasi rangkaian rel.

Fasa pertama CRL, yang diumumkan pada 2019, adalah sepanjang 29 kilometer dan merangkumi 12 stesen dari Aviation Park ke Bright Hill.

Ia dijangka siap pada 2030, manakala fasa kedua yang diumumkan pada September 2022 adalah sekitar 15 kilometer dan terdiri daripada enam stesen bawah tanah.

Kajian kejuruteraan bagi CRL Fasa Ketiga sedang berjalan dan butiran lanjut akan diumumkan selepas kajian ini selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg