Warga S’pura di Timur Tengah dengar letupan, berlindung di rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura di Timur Tengah dengar letupan, berlindung di rumah

Walaupun serangan berterusan di Doha, Abu Dhabi, Dubai rakyat S’pura dalam keadaan selamat
Mar 1, 2026 | 3:40 PM

Warga S’pura di Timur Tengah dengar letupan, berlindung di rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Letupan berikutan pemintasan peluru berpandu Iran dapat dilihat di ruang udara Dubai pada 1 Mac. Beberapa letupan berlaku di bandar-bandar Teluk di Dubai, Doha dan Manama.
Letupan berikutan pemintasan peluru berpandu Iran dapat dilihat di ruang udara Dubai pada 1 Mac. Beberapa letupan berlaku di bandar-bandar Teluk di Dubai, Doha dan Manama. - Foto AFP

Bunyi gegaran letupan demi letupan sepanjang malam membuat Cik Alubah Mohamed Said dan keluarga tidak dapat tidur dengan lena.

Suasana yang menggerunkan itu dialami warga Singapura yang menetap di Dubai itu kerana kediamannya di Mirdif, terletak sekitar enam kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang terkesan daripada serangan tindak balas Iran ke atas negara-negara Teluk Arab.

Berikutan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel, Iran telah melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera Amerika di rantau itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Hotel Burj Al Arab mengalami kerosakan, dengan empat orang cedera.

Menurut ibu tiga anak itu, letupan tersebut bermula pada 28 Februari dan masih berterusan hingga ke 1 Mac.

“Sambil saya mesej awak ini, saya dapat mendengar tiga letupan kuat yang datang dari kawasan lapangan terbang,” ujar Cik Alubah, 52 tahun ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 1 Mac.

Beberapa letupan turut kedengaran di Doha, ibu negara Qatar, dan di Abu Dhabi, ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk di Dubai pada 1 Mac.

Namun demikian, Cik Alubah sekeluarga, yang telah menetap di sana sejak 2013, berada di dalam keadaan selamat.

“Kami dapat mendengar letupan dari semalam sehingga ke pagi ini. Ada di antara letupan itu bunyinya agak kuat sehingga terasa gegaran di pintu dan tingkap

“Apabila ia mula berlaku saya merasa sangat bimbang yang serpihannya itu akan terkena rumah kami dan menyebabkan kebakaran,” tambahnya.

Cik Alubah menjelaskan bahawa beliau telah berhubung rapat dan memberi kemas kini secara konsisten mengenai keadaannya dengan keluarganya di Singapura, termasuk dua anaknya.

“Kami juga berharap keadaan ini akan berhenti kerana ramai rakan warga Singapura kami di Dubai berhasrat untuk balik Singapura pada Hari Raya dan anak perempuan kami pula akan terbang ke Dubai untuk beraya dengan kami.

“Selain itu, kami juga bimbang tentang keselamatan rakan-rakan kami yang bekerja dalam penerbangan,” tambahnya.

Warga Singapura lain yang dihubungi BH turut berkongsi bahawa mereka berada dalam keadaan selamat sambil merujuk kepada beberapa pesanan amaran kecemasan melalui telefon bimbit oleh pihak berkuasa untuk mencari perlindungan di bangunan yang selamat dan terdekat.

Encik Zahari Ismail, 53 tahun, Presiden Kumpulan Melayu/Islam Singapura di UAE, berkata setahunya, tidak ada rakyat Singapura yang terjejas.

Ketika letupan itu berlaku, beliau dan rakan-rakan Singapura yang lain sedang berbuka puasa dan menunaikan ibadah tarawih di sebuah majlis yang berdekatan dengan lapangan terbang itu pada 28 Februari.

“Kita semua rasa cemas sebab kerap mendengar banyak bunyi letupan yang kuat semalam dan sampai saat ini.

“Pihak berkuasa telah memberi amaran kecemasan pada 12.30 tengah malam tadi melalui telefon bimbit untuk semua penduduk di UAE untuk duduk di rumah,” katanya.

Sementara itu, bagi Encik Hamdan Kasimi, 66 tahun, yang menetap di Qatar hampir dua dekad, serangan yang berlaku kali ini jauh berbeza daripada kejadian pada Jun 2025.

Ini kerana lebih 60 peluru berpandu dilaporkan cuba dilancarkan ke arah Qatar dalam tempoh sehari, berbanding sekitar 10 hingga 15 peluru berpandu pada 2025.

Israel dan Iran telah membalas serangan udara pada Jun 2025, selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran yang kemudiannya disertai oleh Amerika Syarikat.

Semasa perang 12 hari itu, Iran juga telah menembak peluru berpandu ke pangkalan udara Al Udeid Amerika di Qatar sebagai tindak balas terhadap penyertaan Amerika dalam perang udara Israel.

“Kali ini, saya berasa lebih cemas kerana saya tidak tahu berapa lama serangan itu akan berlarutan,” katanya. “Buat masa ini, kami hanya boleh bersiap sedia dan tunggu perkembangan seterusnya.”

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 28 Februari berkata pada masa ini tiada laporan mengenai korban nyawa warga Singapura di Israel, Iran, dan rantau Timur Tengah lebih luas.

Namun, MFA turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat Singapura agar menangguhkan semua perjalanan ke Israel, Iran, dan rantau Timur Tengah.

Ia juga menasihati rakyat Singapura yang sedang menetap atau transit di rantau itu supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu demi keselamatan diri mereka. – Laporan tambahan Insyirah Mohd Shukor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg