Vaksin Covid-19 Novavax/Nuvaxovid tidak lagi akan ditawarkan di bawah Program Vaksinasi Nasional (NVP) mulai 1 Januari 2025.
Formulasi vaksin XBB1.5 yang sedia ada tidak lagi dibekalkan oleh pengeluar, dan stok semasa bagi rumusan tersebut di Singapura akan tamat tempoh pada 31 Disember 2024, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada 3 Disember.
MOH berkata individu yang layak dan ingin mendapatkan rumusan vaksin Novavax/Nuvaxovid sedia ada perlu berbuat demikian sebelum 31 Disember 2024.
Individu yang mahu mendapatkan vaksin Novavax/Nuvaxovid sebagai dos tambahan harus berbuat demikian sekitar setahun, dan sekurang-kurangnya lima bulan selepas dos vaksin terakhir, tambah MOH.
Novavax sedang dalam proses memohon kelulusan pengawalseliaan untuk rumusan vaksin Covid-19 yang dikemas kini.
Menurut MOH, kemas kini selanjutnya akan diberikan setelah kelulusan pengawalseliaan berjaya difailkan Novavax dan bekalan tersedia di Singapura.
Vaksin mRNA JN.1 yang dikemas kini – Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax – akan terus tersedia di pusat vaksinasi.
Individu boleh menempah janji temu di poliklinik atau klinik perubatan umum (GP) dalam program SG Lebih Sihat melalui sistem tempahan HealthHub.
Pasukan vaksinasi bergerak yang menawarkan vaksinasi Covid-19 akan terus dikerahkan di seluruh negara.
“Kami menggalakkan semua individu, terutama mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, atau golongan yang berisiko kesihatan supaya memastikan mereka kekal dikemas kini dengan vaksinasi mengikut saranan terkini,” kata MOH.
Rumusan semasa vaksin Novavax Covid-19 telah disediakan di Singapura di bawah NVP pada 28 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg