Dakwaan Parti Kuasa Rakyat (PPP) mengenai bahaya vaksinasi Covid-19 adalah “mengejutkan” dan “palsu”, kata Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai respons terhadap gesaan daripada parti politik itu agar menggantungkan vaksinasi Covid-19 di Singapura.
PPP telah mengeluarkan kenyataan pada 29 Mei di media sosialnya memetik lapan orang yang disifatkan sebagai ‘pakar’, sambil memberi amaran mengenai vaksin yang menyebabkan kesan sampingan teruk dan kematian.
MOH menyangkal dakwaan itu pada 3 Jun, dan berkata ia “menolak secara mutlak dakwaan yang mengejutkan dan palsu ini” oleh “yang dipanggil pakar ini”.
Ia juga menegaskan, senarai artikel saintifik PPP “kebanyakannya adalah daripada kumpulan penulis yang sama, termasuk beberapa individu yang telah dilaporkan mempromosi mesej menentang vaksinasi Covid-19”.
“Kita perlu membuat kesimpulan yang betul dan mengikut bukti saintifik mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19,” kata MOH.
Kementerian itu berkata, semua vaksin membawa sedikit risiko, tetapi risiko mendapat jangkitan jika tidak divaksin adalah lebih teruk.
“Dalam pandemik seperti ini, kematian yang berlebihan tidak dapat dielakkan. Sebab utama Singapura mencatat antara kadar kematian berlebihan yang terendah di dunia semasa pandemik adalah kerana kebanyakan warga Singapura mengambil vaksin,” katanya.
Kematian berlebihan merujuk kepada kadar kematian yang lebih tinggi daripada yang biasa berlaku.
MOH menambah semasa gelombang akibat varian JN.1, yang memuncak pada Disember 2023, jumlah orang yang berusia 60 tahun dan ke atas yang tidak diberi vaksin dan memerlukan kemasukan ke hospital dan/atau unit rawatan rapi (ICU) hampir dua kali ganda berbanding rakan sebaya mereka yang mendapat maklumat terkini tentang vaksinasi mereka.
Kementerian itu mengakui vaksin mRNA boleh menyebabkan miokarditis, atau keradangan otot jantung, dan perikarditis, atau pembengkakan tisu yang mengelilingi jantung, pada lelaki muda berusia18 hingga 29 tahun.
Namun, ia berkata adalah lebih selamat untuk golongan ini untuk mendapatkan vaksin kerana data dunia sebenar dari Amerika Syarikat menunjukkan mendapat jangkitan Covid-19 meningkatkan risiko mereka mendapat penyakit ini sebanyak tujuh hingga lapan kali ganda.
“Terdapat bukti saintifik sangat besar yang menunjukkan bahawa perlindungan daripada vaksin Covid-19 mengatasi kesan sampingan,” kata MOH.
“Namun, beberapa kumpulan terus menyebarkan maklumat yang salah, sama ada dengan memetik laporan saintifik di luar konteks atau berkongsi bahan daripada sumber yang tidak boleh dipercayai yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, untuk menimbulkan keraguan tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19,” tambahnya.
MOH menambah, ia telah bersikap telus dalam melaporkan kejadian kesan sampingan.
Bagi dakwaan PPP mengenai kematian berlebihan yang dikaitkan dengan kadar vaksinasi yang tinggi, MOH berkata kebanyakan kematian berlebihan berpunca daripada wabak itu, dan vaksinasi mengurangkan risiko kematian.
“Daripada kematian Covid-19, terdapat lebih ramai orang yang tidak mengambil vaksin sepenuhnya, mencerminkan bahawa mereka lebih berkemungkinan mati akibat jangkitan Covid-19 berbanding orang yang telah sepenuhnya divaksin,” kata kementerian itu.
Beberapa contoh yang diberikan oleh PPP sama ada tidak ditulis oleh penulis yang mereka petik, atau laporan mereka telah ditolak, kata MOH.
Sebagai contoh, PPP memetik Dr Peter McCullough, yang mendakwa risiko miokarditis melebihi manfaat vaksinasi.
Dr McCullough terlibat dalam kegiatan Persatuan Doktor dan Pakar Bedah Amerika yang menerbitkan artikel yang menimbulkan keraguan mengenai manfaat vaksinasi Covid-19 dan menggesa vaksinasi Covid-19 digantung.
Tiga lagi yang disebut oleh PPP – Dr Robert Malone, Dr Aseem Malhotra dan Profesor Angus Dalgleish – tidak menulis artikel yang dipetik oleh PPP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg