Bekas Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera, pada 28 Januari mengumumkan beliau akan bekerja di New York City, satu langkah yang membayangkan beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam satu hantaran di LinkedIn, Encik Perera berkata beliau baru-baru ini menerima jawatan baru sebagai pengarah eksekutif Yamada Consulting Group USA, pejabat di Amerika Syarikat tersebut.
Spekulasi sejak awal 2024 mengatakan Encik Perera telah menyertai Parti Progresif Singapura (PSP) selepas dilihat di beberapa acara mereka dan berkongsi mengenainya di media sosial, lapor The Straits Times.
PSP dan Encik Perera mengatakan beliau hanya membantu parti tersebut dan bukan seorang ahli. Namun, desas-desus terus tersebar, dengan sesetengah orang berpendapat beliau mungkin menjadi calon dalam pilihan raya yang harus diadakan selewat-lewatnya pada November 2025.
Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, Encik Perera enggan memberi komen.
Seorang jurucakap PSP mengesahkan Encik Perera masih menjadi sukarelawan parti itu. Dengan pemindahannya ke New York City, kemungkinan besar beliau tidak bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Encik Perera, 54 tahun, pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 2015 di bawah bendera WP. Beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selama satu penggal sebelum menjadi Anggota Parlimen dipilih untuk Aljunied GRC pada 2020.
Beliau meletak jawatan daripada WP pada Julai 2023 selepas hubungannya dengan ahli parti ketika itu, Cik Nicole Seah, didedahkan melalui video yang tersebar dalam talian. Cik Seah, calon WP di GRC East Coast pada Pilihan Raya Umum 2020, juga meninggalkan parti itu. Sejak itu, Encik Pereira lebih fokus pada kerjanya sebagai pengerusi lembaga pengarah Yamada Consulting dan Spire, sebuah syarikat yang ditubuh pada 2016.
Dalam catatannya pada 28 Januari, Encik Perera berkata peranan barunya melibatkan pembangunan perniagaan syarikat di Amerika dan bekerjasama dengan syarikat besar dan sederhana yang ingin berkembang di Asia.
Beliau juga akan terus menjadi pengerusi lembaga pengarah Yamada Consulting dan Spire, serta membantu menghubungkan syarikat Singapura dan Asia dengan peluang pelaburan di Amerika dan seluruh dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg