Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas doktor disabitkan kesalahan mengintai

Nov 14, 2025 | 4:34 PM
Jonathan Soh Jingyao, 34 tahun, menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video seorang wanita yang sedang mandi di sebuah apartmen.
Jonathan Soh Jingyao, 34 tahun, menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video seorang wanita yang sedang mandi di sebuah apartmen. - Foto ST

Seorang doktor yang pernah bekerja di Hospital Besar Sengkang (SKH) telah didapati bersalah atas kesalahan mengintai di mahkamah daerah pada 13 November.

Jonathan Soh Jingyao, 34 tahun, menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video seorang wanita yang sedang mandi di sebuah apartmen, lapor The Straits Times (ST).

Dia akan dijatuhkan hukuman pada 15 Disember. Seorang jurucakap SKH sebelum ini memberitahu ST bahawa dia telah meletak jawatan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Xu Sijia memohon hukuman penjara antara lapan hingga 10 minggu bagi Soh, kerana dia telah melanggar hubungan kepercayaan yang terjalin dengan mangsa.

“Tertuduh juga telah mengambil langkah untuk mengelak daripada dikesan, kerana dia telah memadamkan rakaman mangsa selepas wanita itu menyedari bahawa dia sedang merakamnya,” kata DPP Xu di mahkamah.

Hubungan Soh dengan mangsa telah disunting dalam dokumen mahkamah. Identiti mangsa tidak boleh didedahkan kerana adanya perintah sekatan untuk melindungi identitinya.

Pada 14 April 2024, wanita itu sedang mandi di tandas yang terletak bersebelahan dapur di sebuah apartmen, apabila Soh meletakkan telefonnya di ambang tingkap yang menghubungkan dapur dan tandas untuk merakamnya.

Mangsa menyedari kehadiran telefon berhampiran tingkap tersebut dan menjerit, menyebabkan Soh melarikan diri dari dapur.

Wanita itu kemudian meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti individu yang merakamnya ketika mandi.

Pada ketika itu, Soh telah memadam video tersebut dari telefonnya. Dia kemudian memohon maaf kepadanya dan mengakui bahawa dia telah merakam wanita itu ketika mandi.

Teman lelaki wanita itu membuat laporan polis pada hari yang sama.
Majlis Perubatan Singapura (SMC) telah dihubungi untuk memberikan komen.

Bagi kes mengintai, pesalah boleh dipenjarakan selama dua tahun maksimum, didenda, disebat, atau dikenakan mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg