Usianya sudah menjangkau 72 tahun, namun itu tidak mematahkan semangat seorang bekas guru, Encik Seng Soon Kia, untuk mengambil borang permohonan Sijil Kelayakan di Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Selasa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
Encik Seng, bekas guru pertukangan kayu, berkata terdapat beberapa isu di Singapura yang perlu diketengahkan.
Bercakap dalam Bahasa Mandarin, Encik Seng yang memakai pelitup, berkata beliau akan memperjuangkan kerja dari rumah seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19, di mana pekerja boleh bekerja di rumah dan kembali ke tempat kerja hanya beberapa hari dalam seminggu.
Beliau juga ingin memperbaiki keadaan tandas awam serta piawaian perkhidmatan bas, lapor The Straits Times.
Encik Seng berkata beliau telah menulis banyak lagi isu untuk diketengahkan, namun notanya tertinggal di rumah.
Hari pertama untuk mengambil borang permohonan tersebut dilaporkan agak sunyi, dengan hanya sebelah pagi dikunjungi sekumpulan 50 penyokong calon usahawan, Encik George Goh.
Encik Goh, 63 tahun, adalah pengerusi Ossia International, syarikat pengedar dan peruncit barangan pengguna, yang menegaskan bahawa beliau mahu pertandingan dalam pilihan raya presiden kali ini.
Sedang mereka yang berhasrat bertanding menjadi presiden boleh mendapatkan borang mereka di pejabat ELD, jabatan tersebut telah menggesa calon berpotensi untuk muat turun borang yang diperlukan dari laman webnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg