Pengasas bersama Harvey Norman Ossia, Encik George Goh, pada Isnin mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden.
Pengumumannya itu meletakkan beliau sebagai individu kedua selepas Menteri Kanan Encik Tharman Shanmugaratnam menyatakan hasrat yang sama untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.
Satu kenyataan daripada pasukan media beliau menyatakan bahawa Encik Goh akan bertanding sebagai calon bebas.
“Beliau tidak mempunyai afiliasi dengan mana-mana parti politik yang terdahulu atau sekarang. Beliau tidak mempunyai bebanan politik. Beliau tidak pernah berkhidmat dalam sektor awam. Beliau adalah seorang usahawan yang mula bekerja pada usia 16 tahun, dan sejak itu telah membina empayar perniagaan yang meliputi 14 negara,” ujar kenyataan tersebut.
Encik Goh adalah pengerusi Ossia International, sebuah syarikat pemegang pelaburan yang disenaraikan di SGX, dan telah berkhidmat sebagai duta kelana ke Maghribi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg