Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas guru tajaka Kinderland didakwa tuang air dalam mulut budak

Aug 30, 2023 | 3:21 PM
PERBUATAN ANIAYA: Satu video yang tular di Facebook menunjukkan seorang guru tajaka Kinderland dikatakan menuang air ke mulut seorang budak perempuan setelah dipaksa baring.
PERBUATAN ANIAYA: Satu video yang tular di Facebook menunjukkan seorang guru tajaka Kinderland dikatakan menuang air ke mulut seorang budak perempuan setelah dipaksa baring. - Foto FACEBOOK CLAUDIA TAN

Seorang bekas guru prasekolah di sebuah pusat tajaka Kinderland diheret ke mahkamah pada Rabu selepas didakwa menuangkan air ke mulut seorang budak perempuan 23 bulan selepas memaksanya berbaring.

Lin Min, 33 tahun, yang hadir di mahkamah menerusi pautan video, didakwa menganiaya seorang budak kecil, satu kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, lapor The Straits Times.

Wanita warga Singapura itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pusat tajaka itu sejurus sebelum 4 petang pada 30 Jun.

Butiran mengenai mangsa dan lokasi kejadian tidak boleh didedahkan.

Menurut maklumat dalam talian, pengendali pendidikan awal kanak-kanak Kinderland mempunyai lebih 10 cawangan di beberapa kawasan serata Singapura, termasuk Hougang, Siglap dan Woodlands.

Dalam kenyataan lebih awal, polis menyatakan ia menerima laporan sekitar 1 tengah hari pada Isnin berkenaan beberapa video tular yang menunjukkan seorang guru tajaka dikatakan memberi layanan kasar kepada muridnya.

Polis menambah, pegawai dari Divisyen Polis Jurong mengenal pasti wanita tersebut dan menangkapnya enam jam selepas laporan itu diterima.

Video seorang guru tajaka memaksa murid-murid meminum air dan memukul seorang murid di punggungnya dengan buku pada Isnin telah tular di media sosial awal minggu ini.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) berkata, guru tersebut telah dipecat.

Lin akan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi pemeriksaan perubatan lanjut dan kesnya ditangguh hingga 13 September.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang lagi guru Kinderland, 48 tahun, juga didakwa menganiaya seorang murid dan ditangkap pada Selasa.

Wanita itu dilihat dalam satu rakaman dikelilingi beberapa kanak-kanak termasuk seorang budak lelaki sedang memegang botol airnya.

Apabila budak lelaki itu meminum air dari botolnya, wanita itu mengeluarkan kededua tangannya dan menolak kepalanya secara kasar.

Anggota Parlimen (GRC Chua Chu Kang) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dalam catatannya di Facebook berkata beliau telah memberitahu pihak berkuasa mengenai kejadian itu.

Kinderland pada malam Selasa berkata ia telah menerima enam permohonan daripada ibu bapa mahu anak-anak mereka dikeluarkan daripada kededua pusat tajaka tempat dua wanita itu bertugas.

Sejumlah 200 kanak-kanak didaftar di kedua-dua pusat itu.

Mereka yang didapati bersalah menganiaya kanak-kanak boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun dan didenda sehingga $8,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg