Seorang bekas kerani pemindahan hak milik firma guaman, yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun susulan rayuannya, mengaku menyalahgunakan tiga cek berjumlah lebih $122,000 semasa bekerja di firma tersebut.
Pada 1 Disember, Sufandi Ahmad, 45 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menggunakan sijil setem palsu yang berkaitan dengan sebuah hartanah.
Butiran mengenai hartanah itu telah dipadamkan daripada dokumen mahkamah dan pihak pendakwa berkata dia melakukan kesalahan kedua itu untuk menipu bank supaya mengeluarkan pinjaman bagi pembelian hartanah tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Sufandi antara sekumpulan individu yang menipu sebuah bank supaya mengeluarkan pinjaman gadai janji lebih $5.1 juta bagi penjualan dua rumah.
Dalam kenyataan polis pada 2024, bank itu mengalami kerugian lebih $1.79 juta bagi kededua hartanah tersebut.
Pada Ogos 2024, Sufandi dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah atas dua pertuduhan menipu dan lima pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen asal.
Bagi kes semasa, pihak pendakwa berkata dia bekerja sebagai kerani pemindahan hak milik untuk firma guaman itu dari 2004 hingga 2012.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joseph Gwee dan Matthew Choo, serta Pendakwa Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) Ian Yang, menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa tugas Sufandi termasuk mengutip cek yang dikeluarkan oleh klien firma itu.
Klien-klien itu menyerahkan cek untuk tujuan tertentu berkaitan pembelian hartanah mereka, termasuk pembayaran deposit bagi urusan pemindahan hak milik, iaitu proses undang-undang untuk memindahkan hak milik dari satu pemilik ke pemilik lain.
Antara 18 Februari dengan 5 Ogos 2010, Sufandi diberi tanggungjawab terhadap tiga cek daripada dua klien firma guaman itu, berjumlah lebih $122,000.
Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk membayar duti setem dan deposit namun, dia mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun banknya sendiri dan menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi.
Selain itu, Sufandi bertanggungjawab menguruskan pemindahan hak milik sebuah hartanah, termasuk menyerahkan semua dokumen undang-undang dan sijil setem kepada bank untuk memenuhi syarat pelepasan pinjaman sebelum 19 April 2012.
Pada atau sekitar 12 April 2012, Sufandi menyerahkan sijil setem palsu kepada bank.
Kesalahan Sufandi terbongkar apabila seorang pegawai bank mendapati nama pembeli pada sijil palsu itu disalah eja.
Dia kemudian ditangkap pada Disember 2019.
Pada 1 Disember, DPP menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga 13 bulan dan enam minggu ke atas Sufandi dan dia perlu menjalani hukuman itu selepas menamatkan hukuman semasa.
Hukuman terhadap Sufandi akan dijatuhkan pada 2 Januari 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg