Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pelajar tuisyen kini mentor program tuisyen Mendaki

Nov 24, 2024 | 8:09 PM
Encik Ghazali Abdul Wahab satu-satunya penerima Anugerah Sumbangan Terunggul Program Tuisyen Mendaki pada majlis jamuan dan penghargaan Yayasan Mendaki pada 23 November di Grand Hyatt Singapore.
Encik Ghazali Abdul Wahab satu-satunya penerima Anugerah Sumbangan Terunggul Program Tuisyen Mendaki pada majlis jamuan dan penghargaan Yayasan Mendaki pada 23 November di Grand Hyatt Singapore. - Foto YAYASAN MENDAKI

Komitmen Encik Ghazali Abdul Wahab terhadap pendidikan merentasi sempadan bilik darjah, dengan semangat yang tidak pernah pudar untuk memberi inspirasi kepada pelajar beliau dan masyarakat umum.

Ini terserlah sepanjang tiga tahun beliau menyumbang tenaga sebagai penyelia pusat Program Tuisyen Mendaki (MTP) di Sekolah Menengah Canberra.

Sebagai penyelia, Encik Ghazali, 50 tahun, bekerja rapat dengan ketua tutor bagi memastikan program tuisyen itu berjalan lancar, serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pelajar dan pengajar.

Encik Ghazali, yang bekerja sebagai pendidik kanan di Kementerian Pendidikan (MOE), adalah antara 150 sukarelawan program Yayasan Mendaki yang diberi pengiktirafan dalam sebuah majlis jamuan dan penghargaan pada 23 November di hotel Grand Hyatt Singapore.

Beliau satu-satunya penerima Anugerah Sumbangan Terunggul Program Tuisyen Mendaki. Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, serta kakitangan dan sukarelawan lain Mendaki.

Perjalanan Encik Ghazali bersama Mendaki kini lengkap sepenuhnya, kerana beliau sendiri pernah meraih manfaat daripada MTP apabila menjadi pelajar tuisyen itu pada 1985.

Dalam ucapan beliau pada majlis itu, Encik Ghazali mengimbas kembali pengalaman bersama mentor pertamanya semasa usianya 15 tahun, mantan Anggota Parlimen, Allahyarham Haji Mansor Sukaimi, yang meninggalkan kesan hingga ke hari ini.

“Beliau bukan sahaja mengajar saya kemahiran peperiksaan, tetapi juga memberi pelajaran hidup yang tak ternilai bagi membentuk diri saya seperti sekarang.

“Bimbingannya menanamkan semangat untuk belajar dan keinginan memberi kembali kepada masyarakat adalah satu yang saya cuba contohi dalam peranan saya hari ini,” ujarnya.

Selain membantu pelajar, Encik Ghazali membimbing ibu bapa mereka melalui bengkel yang melengkapi ibu bapa dengan sikap psikologi positif bagi menangani cabaran dan tekanan.

Beliau menjalankan bengkel Mendaki Pathways to Success: Supporting Your Child’s Future (Laluan Mendaki Menuju Kejayaan: Menyokong Masa Depan Anak Anda) itu bersama isterinya, Cik Noor Aishah, pada 16 November.

Encik Ghazali Abdul Wahab bersama isterinya, Cik Noor Aishah, menjalankan bengkel untuk melengkapkan ibu bapa dengan sikap psikologi positif bagi menangani cabaran dan tekanan pada 16 November 2024.
Encik Ghazali Abdul Wahab bersama isterinya, Cik Noor Aishah, menjalankan bengkel untuk melengkapkan ibu bapa dengan sikap psikologi positif bagi menangani cabaran dan tekanan pada 16 November 2024. - Foto ihsan GHAZALI ABDUL WAHAB

Encik Ghazali berkata dalam ucapannya: “Kanak-kanak berkembang dengan pantas, dan setiap kata positif mampu meninggalkan kesan yang mendalam. Luangkan sedikit masa untuk menghargai perkara yang menyinarkan mereka. Walaupun ia mungkin kelihatan kecil, bagi mereka, ia boleh menjadi segalanya.”

Turut diberi penghargaan semasa majlis itu ialah 14 rakan kongsi korporat Mendaki, termasuk MSD Singapore, Google dan Micron, yang memainkan peranan sebagai mentor bagi belia dalam program #amPowered serta menyediakan sokongan sebagai ‘human library’ dan penceramah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg