Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 300 pelajar Pasir Ris-Punggol terima keperluan sekolah

Nov 24, 2024 | 3:17 PM
Selain mendapat peralatan sekolah, pelajar turut digalak untuk mengunjungi reruai yang antara lain terdiri daripada Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) yang memberi perkongsian kesihatan semasa acara pengagihan  ‘Kembali ke Sekolah’ dari 23 hingga 24 November.
Selain mendapat peralatan sekolah, pelajar turut digalak untuk mengunjungi reruai yang antara lain terdiri daripada Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) yang memberi perkongsian kesihatan semasa acara pengagihan  ‘Kembali ke Sekolah’ dari 23 hingga 24 November. - Foto M3@PASIR RIS-PUNGGOL
AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (tengah) dan Pengerusi M³ @ Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan (baris belakang, paling kanan), bersama sukarelawan M³ dan Mendaki semasa acara pengagihan ‘Kembali ke Sekolah’ dari 23 hingga 24 November.
AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (tengah) dan Pengerusi M³ @ Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan (baris belakang, paling kanan), bersama sukarelawan M³ dan Mendaki semasa acara pengagihan ‘Kembali ke Sekolah’ dari 23 hingga 24 November. - Foto M3@PASIR RIS-PUNGGOL

Lebih 300 pelajar dari Pasir Ris-Punggol telah menerima keperluan sekolah seperti peralatan tulis, beg sekolah, dan baucar untuk mempersiapkan mereka bagi tahun akademik 2025.

Ini menerusi program ‘Kembali ke Sekolah’ (BTS) yang ketiga, anjuran M³ @ Pasir Ris-Punggol dari 23 hingga 24 November, bertujuan untuk memberi bantuan dan sumber bagi keluarga berpendapatan rendah dalam segi sokongan pendidikan.

Menurut Pengerusi M³ @ Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, para pelajar tersebut yang terdiri daripada pelajar prasekolah hingga sekolah menengah, juga akan dihubungkan dengan Yayasan Mendaki untuk program KelasMateMatika (KMM) dan Skim Tuisyen Mendaki (MTS).

Ia untuk mendapatkan bantuan pendidikan lanjut yang bermatlamat untuk meningkatkan keyakinan pelajar dan memupuk minat terhadap pembelajaran.

Sejak dilancarkan pada 2022, program ini telah memanfaatkan seramai 950 keluarga.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, berkata semasa dihubungi Berita Harian (BH) bahawa acara BTS bertujuan untuk memberikan bantuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Ia mengumpulkan pelbagai rakan masyarakat dan pihak berkepentingan untuk memberikan bantuan kepada pelajar yang kembali ke sekolah, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah,” kata Encik Sharael.

Tambahnya juga, ini adalah satu-satunya program yang mengumpulkan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) dalam menyokong keluarga dan anak-anak mereka.

AP lain bagi GRC Pasir Ris-Punggol yang termasuk Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, dan Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, turut hadir dalam acara pengagihan dua hari itu.

Menurut Encik Sharael, sokongan yang diperkukuhkan ini telah kian berkembang untuk menyokong keluarga dengan lebih baik selama dua tahun yang lepas.

Pada 2023, kira-kira 550 pelajar juga telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Program pada 2024 turut bekerjasama dengan organisasi seperti Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) – Families for Life untuk memberikan pendekatan yang lebih holistik dalam kesejahteraan keluarga.

Ini dapat dilihat melalui aktiviti dalam pelbagai reruai yang ada semasa acara tersebut untuk menggalakkan penyertaan di kalangan kanak-kanak.

Antara yang disediakan termasuk perkongsian mengenai pengetahuan kesihatan, nasihat kesihatan secara umum dan menggalakkan keluarga untuk memuat turun aplikasi Healthy 365 bagi menyertai program kebangsaan anjuran HPB.

“Ini bagi memastikan keluarga mempelajari tentang pemakanan dan kekal sihat,” tambah Encik Sharael.

Reruai lain dari pertubuhan MAEC Pasir Ris-Punggol juga menyediakan aktiviti seperti seni belon, lukisan muka, dan seni tradisional wayang kulit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg