Setelah sembilan tahun menanti, Encik Pangat Adon akhirnya mendapat “panggilan” untuk menunaikan haji pada 2024.
Namun, bekas pemain sepak takraw kebangsaan itu akan ke Tanah Suci tanpa isterinya, yang telah mengerjakan rukun Islam kelima itu dan tidak mendapat tempat dalam kuota musim haji ini.
Seramai 900 anggota jemaah haji Singapura akan menunaikan haji pada 2024, dengan kumpulan pertama dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 3 Jun.
Pada mulanya Encik Pangat, 68 tahun, berasa gementar untuk melaksanakan ibadah haji tanpa isterinya, tetapi kini lebih yakin dan bersemangat menjelang keberangkatannya ke Makkah pada 8 Jun.
Pada 25 Mei, beliau dapat bertemu dan berkawan dengan jemaah lain yang tinggal dalam kawasannya, Pasir Ris-Punggol, dalam sebuah majlis meraikan mereka di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias.
Lebih 40 jemaah hadir di majlis anjuran M3@Pasir Ris-Punggol itu. Secara keseluruhan, 133 penduduk Pasir Ris-Punggol bakal menunaikan haji pada 2024.
Majlis itu bertujuan memupuk nilai perpaduan dan semangat kolektif dengan menghimpunkan ahli keluarga dan teman bakal jemaah haji serta anggota masyarakat. Kehadiran mereka diharap dapat memberi sokongan dan membangkitkan semangat mereka sebelum ke Tanah Suci.
Encik Pangat, seorang pegawai pemantau keadaan di sebuah syarikat gas dan elektrik, berkata: “Ini kali pertama saya menunaikan haji, apatah pula tanpa isteri.
“Tapi kini saya dapat mengenali jemaah lain dengan lebih rapat… ia membuatkan saya rasa lebih yakin untuk ke Tanah Suci.”
Di majlis itu, jemaah haji diberi pek penjagaan diri daripada M3@ Pasir Ris-Punggol sebagai persiapan bagi perjalanan mereka. Pek itu merangkumi, antara lain, siwak, sabun mandi, syampu dan tisu basah mesra ihram, tasbih digital yang dipakai pada jari, sejadah kecil, pelitup, kipas mini mudah alih, ubat batuk, biskut dan minuman teh.
Turut hadir di majlis itu ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Beliau berkata: “Majoriti jemaah kita adalah warga tua dan ada daripada mereka akan menunaikan haji sendirian. Jadi, dengan adanya majlis sebegini, apabila mereka berjumpa jemaah lain, mereka berasa lebih yakin dan terdorong.”
Jemaah dan hadirin juga meraih manfaat daripada perkongsian Ustaz Ma’az Sallim mengenai panduan menunaikan haji dan keistimewaan Hari Raya Aidiladha di majlis itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg