Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pengarah bersekutu Akademi SMU dijel 3 tahun dek rasuah

Jul 22, 2024 | 7:29 PM
Christopher Tan Toh Nghee, yang tidak lagi bekerja untuk Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menerima rasuah daripada tiga lelaki untuk memajukan kepentingan perniagaan mereka dengan universiti itu.
Christopher Tan Toh Nghee, yang tidak lagi bekerja untuk Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menerima rasuah daripada tiga lelaki untuk memajukan kepentingan perniagaan mereka dengan universiti itu. - Foto ST

Seorang bekas pengarah bersekutu pembangunan perniagaan di Akademi Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang menerima rasuah berjumlah lebih $472,000 dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan pada 22 Julai.

Christopher Tan Toh Nghee, 46 tahun, juga diarah membayar penalti sebanyak $90,552 dan perlu meringkuk dalam penjara selama tiga bulan lagi jika dia gagal membayar jumlah tersebut.

Pada 1 Julai lalu, Tan, yang pernah bekerja di cabang latihan universiti itu, mengaku bersalah atas 16 tuduhan, termasuk pelbagai tuduhan rasuah.

Sebanyak 36 tuduhan lain turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Tan menerima rasuah daripada tiga lelaki – Kenneth Lum Hsien Loong, Jeffery Long Chee Kin dan Cher Kheng Than – yang ketika itu merupakan pengarah firma yang berbeza.

Pada masa kesalahan itu, skop tugas Tan termasuk menyelia pengurusan hasil, jualan dan program bagi jabatan kecil operasi perkhidmatan dan pembaikan perniagaan Akademi SMU.

Jabatan itu turut berhubungan dengan rakan kongsi untuk membantu mempromosikan kursus yang sedia ada.

Cher, ketika itu berusia 46 tahun, dijatuhi hukuman penjara setahun pada 20 Februari, manakala Long, 45 tahun, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada September 2023.

Lum, 47 tahun, pula pada ketika itu ialah pengarah Pemasaran Perikatan Antarabangsa (IAM), yang berurusan dalam produk elektronik. Kesnya belum lagi selesai.

Pada sekitar 2018, Tan menawarkan pada Long sama ada dia berminat menjadi rakan pemasaran bagi mempromosikan kursus Akademi SMU.

Long bersetuju, dan perjanjian perkhidmatan dilaksanakan antara SMU dengan AST pada 1 Januari 2019.

Secara keseluruhan, Tan telah menerima rasuah berjumlah $71,300 daripada Long.

Selain itu, Tan menyarankan pada Cher supaya membantu di SMU bagi membangunkan kursus baru bagi Sijil Lanjutan dalam bidang Keusahawanan.

Tan menambah bahawa Cher boleh bekerja untuk Akademi SMU sebagai rakan kongsi pemasaran di bawah struktur yang berasaskan komisen.

Pada Januari 2019, Cher menubuhkan CJ Synergy (CJS) dengan tujuan bekerjasama dengan SMU untuk menyediakan khidmat pemasaran.

Pendakwa berkata Cher mendapat tahu bahawa Tan menerima potongan satu pertiga komisen seorang lagi rakan kongsi pemasaran akademi SMU.

Cher kemudian merancang memberi rasuah itu bagi mendapatkan peluang menjadi rakan kongsi pemasaran.

Tan secara rasuah menerima $62,800 daripada Cher.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan mengenali Lum melalui rakan bersama pada 2016.

Dalam beberapa kali pada 2018 dan 2019, Tan menerima wang tunai daripada Lum supaya memastikan dia boleh meneruskan perniagaan bersama SMU.

Tan menerima rasuah berjumlah hampir $338,000 daripada Lum.

Mahkamah diberitahu pada 22 Julai bahawa Tan telah mengembalikan sebanyak $381,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg