Veteran industri muzik, Ken Lim Chih Chiang, tampil untuk beri keterangan bagi pembelaan diri sendiri pada 22 Julai dalam perbicaraan susulan pertuduhan membuat komen berunsur seksual terhadap seorang penyanyi dan penggubah lagu pada 2012.
Dalam laporan The Straits Times (ST), Lim, yang menggerakkan label rakaman Hype Records dan dikenali sebagai pengadil Singapore Idol, menyifatkan dakwaan wanita itu sebagai satu pembohongan, dengan mengatakan bahawa ia bertentangan dengan kelakuan seorang eksekutif rekod terhadap artis.
Warga Singapura berusia 60 tahun itu menafikan kesemua tujuh tuduhan oleh lima wanita terhadapnya.
Dia dijangka menghadapi lima perbicaraan berhubung kenyataan seksual yang didakwa dibuatnya antara 1998 dengan 2013, serta satu lagi tuduhan mencabul seorang wanita berusia 25 tahun di pejabatnya di Henderson Road pada November 2021.
Perbicaraan tersebut juga meliputi satu tuduhan menghina kehormatan seorang lagi wanita, yang berusia 26 tahun pada 2012.
Wanita itu mendakwa Lim berkata kepadanya: “Adakah anda seorang dara?” dan “Bagaimana jika saya melakukan hubungan seks dengan anda sekarang?” di tempat letak kereta di Hype Records pada Julai 2012.
Wanita itu, yang dilindungi identitinya atas perintah mahkamah, kini berpangkalan di luar negara dan kembali ke Singapura untuk memberi keterangan terhadap Lim.
Beliau memutuskan untuk membuat laporan polis selepas membaca laporan berita mengenai Lim yang didakwa kali pertama di mahkamah pada 2023.
Dalam keterangannya, Lim, yang hadir di mahkamah bersama isterinya, Cik Judy Hsu, menyangkal segala dakwaan terhadapnya.
Lim menubuhkan Hype Records pada usia 28 tahun pada 1992.
Label itu menghasilkan banyak lagu tempatan dan menjadi persimpangan pertemuan antara kebanyakan pemuzik dengan penerbit sepanjang tiga dekad.
“Malangnya, disebabkan tuduhan remeh ini, saya tidak dapat menyumbang kepada industri ini lagi,” kata Lim, sambil menambah bahawa dia memberhentikan sebahagian besar kakitangannya, yang benar-benar memberi kesan sedikit sebanyak kepada keseluruhan industri.
Perbicaraan diteruskan pada 13 Ogos dan jika sabit kesalahan, Lim menghadapi hukuman penjara selama setahun, denda atau kedua-duanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg