Seorang bekas pengarah kumpulan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) didakwa mengakses pangkalan data agensi itu tanpa kebenaran, serta menyimpan dokumen berkaitan tujuh unit flat HDB pada 2024. 

Tan Chew Ling, yang pernah memegang jawatan pengarah kumpulan pentadbiran dan estet hartanah, didakwa telah mengakses pangkalan data penyerahan pengurusan perumahan HDB sebanyak 161 kali secara berasingan, walaupun tidak diberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Dia didakwa melakukannya sepanjang dua hari, iaitu pada 27 dan 28 April 2024.

Wanita berusia 58 tahun itu berdepan satu tuduhan melakukan akses tanpa kebenaran terhadap bahan komputer di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Tan turut didakwa menyimpan dokumen dan maklumat berkaitan tujuh unit flat HDB pada 28 April 2024, satu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Menurut dokumen mahkamah, dia berjaya memperoleh dokumen dan maklumat tersebut hanya kerana kedudukan jawatannya di agensi itu.

Kumpulan yang diselia Tan bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar perumahan awam, menguruskan bekalan unit rumah, harga, jualan dan jualan semula, serta mengendalikan geran dan pinjaman perumahan.

Tan, yang kali pertama didakwa pada Februari 2026, akan kembali ke mahkamah pada 20 Oktober untuk sesi praperbicaraan. Unit-unit rumah HDB yang dicarinya terletak di Kim Keat, Pasir Ris, Dakota, Dawson Road, Bedok North, Tampines dan Shunfu. 

Antara dokumen yang didakwa disimpannya termasuk sebuah fail yang mengandungi butiran pengambilan wajib hak milik rumah bagi sebuah unit rumah.

Fail lain termasuk satu yang mengandungi anggaran pendapatan sewa bagi hartanah swasta di Duo Residences, Fraser Street, dan satu lagi yang mengandungi maklumat mengenai bantahan yang ditolak oleh HDB terhadap cadangan pengambilan wajib sebuah unit rumah. 

Tan sendiri pernah melaporkan kebocoran maklumat sulit pada 2017, apabila seorang pegawai HDB daripada bahagian jualan semula memberikan maklumat mengenai transaksi jualan semula kepada seorang wartawan The Straits Times (ST). 

Tan, yang pada ketika itu sudah pun memegang jawatan pengarah kumpulan, membuat laporan polis mengenai kebocoran maklumat sulit.

Pegawai berkenaan kemudiannya didakwa di Mahkamah Daerah dan didenda $2,000 kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi. Wartawan itu pula menerima amaran keras daripada pihak polis.

Semakan terhadap direktori pemerintah menunjukkan bahawa Tan tidak lagi memegang jawatan pengarah kumpulan pentadbiran dan hartanah estet HDB.