Seorang lelaki yang dibebaskan daripada penjara pada 2024 selepas menjalani hukuman kerana menipu, tetap tidak serik, malah kembali bekerja bagi satu kumpulan jenayah terancang di Kemboja pada tahun sama.

Semasa di sana, Muhammad Firdaus Abdul Rahman, menyamar sebagai pegawai pemerintah dalam skim panggilan penipuan yang menyasarkan penduduk Singapura.

Selepas kembali ke Singapura, dia membantu kumpulan itu mengumpulkan hampir $656,800 daripada sekurang-kurangnya 14 mangsa.

Pada 22 Jun, warga Singapura berusia 37 tahun itu, yang kini direman, mengaku bersalah atas satu tuduhan berurusan bagi meraih hasil daripada perbuatan jenayah, dan satu tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Xavier Tan, memberitahu mahkamah bahawa Firdaus disabitkan dengan kesalahan menipu pada November 2022 dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun tujuh bulan.

Dia kemudian dibebaskan dengan perintah pengampunan di samping dikenakan perintah menjauhkan diri daripada masalah dari 24 September 2024 hingga 3 Ogos 2025.

Tetapi sebelum Oktober 2024, seorang rakannya, yang dikenal pasti sebagai Jackson Lim Soon Lai, memberitahunya tentang peluang “kerja” melibatkan penipuan di Kemboja dengan gaji pokok $1,000 selain komisen peratus.

Firdaus menerima tawaran kerja itu walaupun dia masih di bawah perintah pengampunan.

Dia terbang ke Kemboja bersama Lim dan seorang lagi yang dikenali sebagai Chris Jerome pada 3 Oktober 2024.

Sebaik sahaja mendarat, mereka menaiki van dari lapangan terbang dan pergi ke kawasan berhampiran salah satu sempadan Kemboja.

Butiran mengenai lokasi sebenar tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Firdaus dan Jerome kemudian pergi ke sebuah pejabat yang dijaga oleh kira-kira 15 orang dan beberapa ekor anjing.

DPP Tan berkata: “Mereka diarahkan supaya membuat panggilan ke nombor telefon Singapura dengan menyamar kononnya daripada ‘Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Singapura’, mengenai isu berkaitan keselamatan siber.”

Jika mangsa yang terpedaya memindahkan dana kepada sindiket tersebut, Firdaus dan Jerome akan mendapat sebahagian daripada wang itu.

Firdaus membuat panggilan penipuan selama kira-kira sebulan, sebelum dia dimasukkan ke hospital atas sebab yang tidak didedahkan.

Sindiket itu membayar bil hospitalnya, dan dia kemudian terbang kembali ke Singapura seorang diri selepas dibenarkan keluar hospital.

Selepas kembali ke sini, Firdaus membantu Lim mendapatkan maklumat mengenai Pasukan Polis Singapura dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Pada atau sekitar 19 April 2025, dia setuju menerima upah daripada Lim untuk mengumpul bungkusan wang dan menyerahkannya kepada seseorang yang tidak dikenali.

Pada April dan Mei 2025, dia pergi ke beberapa tempat termasuk Raffles Place, Jurong West dan Ang Mo Kio untuk mengumpul hampir $656,800 daripada sekurang-kurangnya 14 mangsa.

Firdaus bakal dijatuhi hukuman pada Ogos ini.