Beberapa bekas tapak sekolah di seluruh Singapura, yang tidak digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dikembalikan kepada masyarakat dan diubah bagi pelbagai kegunaan, seperti menempatkan prasekolah hingga menjadi ruang kediaman bersama.
Sepanjang lima tahun lalu, 20 bekas tapak sekolah – 12 daripadanya sekolah yang bergabung – diserahkan semula kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA).
SLA dan Kementerian Pendidikan (MOE) memberi kemas kini itu sebagai respons kepada pertanyaan tentang jumlah bekas kawasan sekolah yang mereka uruskan, serta sama ada lebih banyak tapak akan diserahkan kepada SLA berikutan penggabungan sekolah baru-baru ini.
Daripada 20 bekas tapak sekolah yang diuruskan oleh SLA, sembilan telah diserahkan kepada agensi awam untuk memudahkan rancangan pembangunan dalam bidang seperti penjagaan kesihatan dan perumahan.
Menurut SLA, kira-kira separuh daripada baki 11 tapak telah diubah untuk kegunaan semula bagi pelbagai tujuan, termasuk masyarakat, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Tapak selebihnya sedang dikaji atau disediakan untuk rancangan pembangunan jangka panjang, lapor The Straits Times (ST).
Pengarah bahagian perancangan dan pembangunan perniagaan SLA, Cik Carrie Wong, berkata:
“Jika tiada rancangan segera untuk tanah itu, SLA mengoptimumkan hartanah dan tanah milik negara ini dengan menggunakannya untuk tujuan ekonomi, sosial, atau masyarakat yang bermakna dalam tempoh sementara, dengan cara yang sesuai dengan keperluan pasaran.”
Salah satu tapak tersebut ialah bekas Sekolah Rendah Loyang, yang dibiarkan kosong selepas sekolah itu bergabung dengan Sekolah Rendah Casuarina pada 2019.
Tapak itu dibahagikan kepada dua bahagian.
Satu daripadanya telah diambil oleh pengendali prasekolah NTUC First Campus untuk menempatkan salah satu daripada dua pusat jagaan kanak-kanak My First Skool yang besar, dan boleh menampung 1,100 kanak-kanak – 990 tempat untuk jagaan kanak-kanak dan 110 bagi jagaan bayi.
Dengan kapasiti penuh, pusat itu, yang mula beroperasi pada Mei 2023, mampu menampung 175 pendidik dan kakitangan sokongan.
Pengurus besar My First Skool, Cik Thian Ai Ling, memberitahu ST bahawa reka bentuk keseluruhan pusat itu diilhamkan oleh sejarah Loyang dan sungai serta aliran air kawasan tersebut pada masa lalu.
Pusat itu merupakan satu-satunya finalis Singapura dalam kategori sekolah yang siap dibina di Anugerah Seni Bina Dunia pada 2024.
Bekas padang sekolah itu kini menampilkan struktur cincin pilin dan kawasan permainan tanpa struktur untuk prasekolah.
Cik Thian berkata 11 pokok ‘yellow flame’ yang mengelilingi kampus tersebut dibiarkan tidak disentuh.
Beliau berkata: “Ini adalah usaha yang disengajakan bagi mengekalkannya.
“Kami tidak mahu menebangnya kerana kami ingin mengekalkan warisan tempat itu dan menjadikan alam semula jadi kelihatan jelas kepada anak-anak kami.”
Bekas sekolah itu mempunyai 60 kelas, empat tingkat dan tiga kawasan permainan luar – di tingkat bawah, tingkat kedua dan tingkat ketiga.
Pengetua pusat itu, Cik Tang Hui Min, berkata salah satu kelebihan mempunyai kampus yang lebih besar adalah sekolah dapat mereka kawasan permainan yang eksklusif untuk murid-muridnya.
“Ini sangat kondusif untuk melakukan pelbagai kegiatan di ruang ini kerana ruang ini milik kami,” kata Cik Tang.
Beliau menambah bahawa kanak-kanak tidak perlu meninggalkan pusat untuk bermain di luar, menjadikannya lebih selamat untuk mereka.
Kawasan permainan turut direka khusus untuk menyokong pembelajaran luar, serta permainan berstruktur dan tidak berstruktur.
Bahagian baki bekas Sekolah Rendah Loyang kini disewakan kepada Vidacity, sebuah pusat inovasi pemula yang mampan.
Bekas pejabat am dan pejabat pengetua kini digunakan untuk mengadakan bengkel masyarakat mingguan, dan peserta dapat mengasah kemahiran bertukang dan mempelajari cara mengitar semula bahan, antara lain.
Bilik darjah dan kemudahan pembelajaran telah diubah suai menjadi 16 studio pemula dan satu makmal penyelidikan yang menyediakan ruang bagi syarikat pemula membangunkan projek kelestarian mereka.
Satu contoh ialah Ferticlay, yang menggunakan ruang studio di Vidacity untuk mengitar semula sisa makanan, seperti kulit kerang dan hampas kopi menjadi bahan tanah liat alternatif yang boleh digunakan untuk peralatan rumah dan bahan binaan.
MOE telah mengumumkan penggabungan 46 sekolah sejak 2019, termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan maktab rendah, sebagai tindak balas kepada penurunan kadar kelahiran dan perubahan demografi di kawasan perumahan.
Seorang jurucakap MOE berkata kementerian itu kini mempunyai sembilan bekas tapak sekolah yang kosong.
Empat tapak akan dibangunkan semula untuk digunakan sebagai tapak sementara atau kampus kekal.
Lima tapak selebihnya akan diserahkan semula kepada SLA untuk kegunaan lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg