Mantan Presiden Persatuan Ain, Encik Ramli Puteh, telah meninggal dunia pada 7 Disember.
Beliau berusia 71 tahun.
Satu-satunya anak Allahyarham, Cik Nur Asykin, 36 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa bapanya itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan sebelum ini, telah mengalami beberapa masalah kesihatan.
“Beliau sebenarnya mengalami strok pada Ogos 2020 semasa Covid-19. Disebabkan itu, beliau hilang keupayaan untuk bergerak dan juga mengalami afasia (kesukaran berkomunikasi).
“Namun begitu, beliau berusaha gigih untuk pulih. Alhamdulillah, beliau berjaya sembuh tetapi satu lagi kejadian strok berlaku setahun kemudian,” kongsi Cik Nur Asykin, seorang penjawat awam, sambil menambah bahawa bapanya meninggal dunia di rumah.
Allahyarham Ramli merupakan antara pengasas Persatuan Ain – yang dikenali bagi usaha mereka membantu pesakit barah – dan menerajui badan tersebut sebagai presidennya sejak ia ditubuhkan pada 2000 sehingga 2006.
Seorang aktivis yang selalu ambil berat tentang perkembangan dan kebajikan masyarakat Melayu/Islam, Allahyarham sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Setiausaha Masjid An-Nur.
Allahyarham juga pengasas bersama Persatuan Aksi Kemajuan Sosial dan Ilmu (Paksi) iaitu sebuah persatuan yang memupuk kesedaran dalam masyarakat Melayu/Islam tentang peluang yang ada bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran.
Persatuan Ain dalam kenyataannya kepada BH menyifatkan Allahyarham Ramli sebagai seorang tokoh yang dihormati, yang telah meletakkan asas kukuh untuk perjuangan badan itu dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Dedikasi dan komitmen beliau dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat, khususnya dalam memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada mereka yang memerlukan, akan sentiasa dikenang sebagai warisan.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga Persatuan Ain, tetapi juga kepada masyarakat,” kata badan itu.
Pada 2006, BH melaporkan bahawa Allahyarham mengundurkan diri sebagai Presiden Persatuan Ain disebabkan masalah kesihatan.
Pada ketika itu, ia dilaporkan bahawa Allahyarham telah menjalani pembedahan lencongan jantung pada Mei 2005 akibat empat saluran jantungnya tersumbat.
Sementara itu, pihak Masjid An-Nur dalam satu catatan di Facebook telah melahirkan rasa duka atas pemergian Allahyarham Ramli.
“Masjid An-Nur amat berterima kasih dan menjunjung tinggi jasa baiknya.
“Beliau adalah antara yang menjayakan Forum Perdana di Stadium Tertutup Kallang dan memperkenalkan sistem dan pentadbiran kariah di kawasan Woodlands/Marsiling.
“Salam takziah buat ahli keluarga beliau. Semoga roh beliau dirahmati dan ditempatkan bersama para solihin dan syuhada, Amin,” menurut catatan tersebut.
Mengimbas kenangan, Cik Asykin berkata semasa beliau sedang membesar, beliau selalu dapat melihat bagaimana bapa tercintanya itu secara konsisten berusaha untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Malah, sebelum beliau jatuh sakit, beliau benar-benar ambil berat tentang usaha untuk membuat perubahan dan mahu melakukan lebih banyak lagi, khususnya untuk masyarakat Melayu di Singapura.
“Saya amat berbangga dengan bapa saya bagi usahanya ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg